Jumaat | 25/09/2026 | 3:27:43 pm
HomeJenayahDua pelajar mengaku tidak bersalah cederakan rakan guna seterika

Dua pelajar mengaku tidak bersalah cederakan rakan guna seterika

PARIT – Dua pelajar lelaki masing-masing berusia 13 dan 14 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan rakan mereka menggunakan seterika di sebuah maahad tahfiz, minggu lalu.

Kedua-dua tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Izalina Rajaai.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun menggunakan sebuah seterika yang didakwa sebagai senjata yang boleh menyebabkan kematian.

Perbuatan itu didakwa berlaku kira-kira pukul 4 petang, 19 September lalu di sebuah maahad tahfiz di Chopin Kanan, di sini.

Kedua-dua pelajar itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Jayasri, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Nadrah Badarudin.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM500 setiap seorang dan menetapkan 27 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Kes itu terbongkar selepas seorang doktor di sebuah klinik swasta membuat laporan polis pada Isnin lalu selepas merawat mangsa yang mengalami kecederaan akibat kejadian tersebut.

Berdasarkan keterangan mangsa, dia mendakwa dua rakannya melakukan perbuatan berkenaan terhadapnya menggunakan seterika. – KOSMO!

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Jumaat, 25 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|