Selasa | 29/09/2026 | 10:12:22 pm
HomeFilemFilem Orang Perang bawa kisah masyarakat Orang Asli Semai ke layar perak

Filem Orang Perang bawa kisah masyarakat Orang Asli Semai ke layar perak

PETALING JAYA – Kecekapan masyarakat Orang Asli Semai membaca jejak di hutan serta keberanian mereka berdepan ancaman keselamatan menjadi antara kisah yang diketengahkan menerusi filem epik aksi, Orang Perang.

Mengambil latar Tanah Melayu pada era 1950-an, filem arahan Hashim Rejab itu diinspirasikan daripada kisah benar dan turut menampilkan peranan Senoi Praaq dalam menghadapi ancaman komunis.

Hashim berkata, karya terbitan 3Line Media Sdn. Bhd. bersama Nanord Studio Production itu cuba melihat konflik daripada sudut yang lebih luas, termasuk hubungan antara masyarakat Orang Asli, pasukan keselamatan dan individu daripada latar berbeza.

“Hubungan antara masyarakat, pasukan keselamatan dan individu daripada latar berbeza menjadi asas kepada penceritaan mengenai keberanian mengatasi prasangka demi keamanan bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, penonton bukan sahaja disajikan dengan aksi pertempuran di kawasan hutan, malah dibawa mengikuti perjalanan Bah Tangga, seorang pemuda yang berdepan pelbagai cabaran ketika tercetusnya konflik dan keganasan.

Katanya, elemen persahabatan, kesetiaan dan kepercayaan turut menjadi sebahagian daripada perjalanan watak tersebut dalam berdepan situasi yang memerlukan keputusan sukar.

“Melalui kisah Bah Tangga dan masyarakat di sekelilingnya, Orang Perang turut mengetengahkan nilai persahabatan, kesetiaan, keberanian serta pengorbanan masyarakat Orang Asli ketika berdepan ancaman terhadap keselamatan dan kehidupan mereka,” katanya.

Bagi menghidupkan suasana Tanah Melayu pada zaman tersebut, penggambaran dijalankan di beberapa lokasi termasuk Perdik Fall di Ulu Langat, Bukit Tunku dan Kem Asia di Semenyih.

Hashim berkata, latar hutan dan perkampungan memainkan peranan penting dalam membentuk dunia filem berkenaan, khususnya bagi menggambarkan kehidupan masyarakat serta keadaan ketika era konflik.

Orang Perang yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 1 Oktober ini menampilkan barisan pelakon antaranya Niezam Zaidi, Syazwan Zulkifli, Ammar Alfian, Fadli Masoot, Dewa Arteh, Izuan Razali, Adam Corrie, Hairi Safwan dan Fauzi Nawawi.

Turut membintangi filem itu ialah Razib Salimin, Kazar Sarsi, Azhan Rani, Pui Yi dan Vanida Imran.

Selain filem, Niezam turut bergandingan dengan Elly Langkasuka menerusi lagu Sumpah Leluhur yang dipilih sebagai lagu runut bunyi asal (OST) Orang Perang.

Lagu ciptaan Achoi Floor 88 itu melengkapkan karya yang turut memberi penghormatan kepada sumbangan dan semangat juang masyarakat Orang Asli dalam menghadapi ancaman keselamatan pada era berkenaan. – Utusan Malaysia

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Selasa, 29 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|