Selasa | 29/09/2026 | 10:36:26 pm
HomeBelasungkawaEnam hari hilang, warga emas Orang Asli ditemukan maut di kawasan paya

Enam hari hilang, warga emas Orang Asli ditemukan maut di kawasan paya

KUANTAN – Operasi mencari seorang wanita warga emas Orang Asli yang hilang selepas keluar memancing berakhir dengan penemuan mayatnya di kawasan paya berhampiran rumahnya di Kampung Lesong, Kedaik, Rompin, hari ini.

Mangsa, Kuang Poh, 73, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 500 meter dari kediamannya pada 11.50 pagi selepas operasi pencarian memasuki hari keenam.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, pencarian mangsa melibatkan beberapa pasukan dan aset termasuk unit dron serta Unit K9.

“Pasukan SAR membawa keluar mayat mangsa pada 1.05 tengah hari sebelum dihantar ke Hospital Rompin untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, operasi pencarian turut mendapat bantuan Unit Dron Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin, Unit Dron Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuantan serta Unit K9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang.

Katanya, pasukan SAR sebelum itu menjalankan pencarian di beberapa lokasi tumpuan sekitar kawasan mangsa dilaporkan hilang.

Sharif Shai berkata, punca kematian belum dapat dikenal pasti berikutan keadaan jasad mangsa yang telah mereput.

“Punca kematian mangsa tidak dapat dipastikan kerana jasadnya telah mereput dan kes disiasat sebagai kematian mengejut,” katanya.

Dengan penemuan tersebut, operasi SAR ditamatkan pada 2 petang dan Pos Kawalan Polis turut ditutup.

Sebelum ini, Kuang Poh dilaporkan hilang pada 23 September selepas keluar memancing di kawasan paya berhampiran hutan di Kampung Lesong, Kedaik.

Usaha mengesan mangsa kemudian digerakkan dengan pencarian tertumpu di kawasan sekitar lokasi beliau dipercayai berada sebelum akhirnya ditemukan hari ini.

– Astro Awani

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Selasa, 29 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|