Rabu | 30/09/2026 | 9:29:32 pm
HomeGaya Hidup"Aku nak makan apa ni?", pelanggan kecewa dakwa terima ayam gepuk rentung

“Aku nak makan apa ni?”, pelanggan kecewa dakwa terima ayam gepuk rentung

MELAKA – Hasrat seorang pelanggan untuk menikmati ayam gepuk selepas pulang dalam keadaan lapar bertukar kecewa apabila hidangan yang dibelinya didakwa terlalu rentung sehingga mengeluarkan bau hangit.

Pengalaman itu dikongsikan menerusi Threads sebelum menarik perhatian pengguna media sosial selepas gambar dan rakaman menunjukkan keadaan ayam yang diterimanya.

Berdasarkan gambar dikongsikan, sebahagian permukaan ayam berkenaan kelihatan sangat gelap, manakala pelanggan terbabit mendakwa keadaan itu menyebabkan hidangan tersebut sukar untuk dinikmati.

Lebih mengecewakan, pelanggan berkenaan berkata dia hanya menyedari keadaan makanan itu selepas pulang ke rumah yang berada jauh dari premis sebuah rangkaian ayam gepuk terkenal di Melaka.

“Rumah dah lah jauh, nak pergi hantar balik. Orang beli pakai duit,” katanya menerusi rakaman berkenaan.

Pelanggan itu turut mendakwa ayam diterimanya berbau hangit dan akhirnya memilih untuk menikmati nasi bersama sambal sahaja.

“Aku makan nasi dengan sambal pun tak apa. Aku beli dengan harga mahal tahu, RM13.90. Macam ni yang kau bagi,” katanya.

Perkongsian berkenaan kemudian mengundang pelbagai reaksi pengguna Threads, termasuk beberapa individu yang berkongsi pengalaman masing-masing mengenai makanan dan perkhidmatan di cawangan tertentu.

Pada masa sama, terdapat juga pengguna yang berpandangan kualiti hidangan mungkin berbeza mengikut cawangan dan pengalaman setiap pelanggan.

Seorang pengguna turut mencadangkan supaya pengurusan rangkaian berkenaan meneliti operasi bahagian dapur bagi mengenal pasti sekiranya terdapat isu yang perlu diperbaiki.

Bagaimanapun, dakwaan mengenai keadaan makanan itu adalah berdasarkan pengalaman dan perkongsian pelanggan terbabit, manakala punca sebenar ayam berkenaan menjadi terlalu rentung belum dapat dipastikan.

Setakat berita ini ditulis, MYBERITA sedang mendapatkan maklum balas daripada pihak pengurusan rangkaian ayam gepuk berkenaan berhubung dakwaan tersebut. – Threads

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Rabu, 30 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|