KUALA LUMPUR – Penyanyi rock terkenal, Datuk Nash, terpaksa menerima sebanyak 52 jahitan selepas terbabit dalam kemalangan motosikal ketika dalam perjalanan pulang dari surau, malam Ahad.
Pelantun lagu Zahir Tak Terucap itu mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dahi kiri sehingga memerlukan 24 jahitan di kepala serta 28 jahitan di bahagian dahi kiri.
Nash yang kini menerima rawatan di sebuah pusat perubatan swasta bagaimanapun bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan serius atau kecederaan dalaman susulan insiden berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penduduk setempat yang tampil memberikan bantuan sejurus kejadian berlaku.
“Saya ucapkan terima kasih kepada penduduk sekitar yang membantu saya malam tadi.
“Alhamdulillah, saya hanya mengalami kecederaan luaran di bahagian kepala, manakala pemeriksaan dalaman mendapati tiada yang serius,” katanya.
Mengimbas kembali kejadian itu, Nash berkata, kemalangan berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menunaikan solat Isyak dan mengikuti ceramah di sebuah surau berhampiran kediamannya.
Menurutnya, keadaan cuaca yang hujan ketika itu turut menjadi antara situasi yang dihadapinya sebelum kemalangan berkenaan berlaku.
“Selepas solat, saya mengikuti ceramah dan barulah pulang ke rumah. Keadaan cuaca pula hujan. Dalam perjalanan itulah kemalangan berlaku,” katanya ketika ditemui media.
Dalam pada itu, penyanyi veteran berkenaan turut memaklumkan bahawa mata kirinya masih belum dapat dibuka akibat kecederaan yang dialami.
“Minta maaf kerana saya tidak dapat buka mata buat masa ini,” katanya.
Nash turut menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang hadir menziarahinya ketika menerima rawatan di hospital.
Sementara itu, ahli keluarga Nash yang berada di hospital memohon agar penyanyi berkenaan diberikan ruang dan masa untuk berehat serta menjalani proses pemulihan.
Mereka turut meminta orang ramai agar tidak mengunjungi Nash buat masa ini bagi memastikan penyanyi itu mendapat rehat secukupnya. – sinar plus
