JOHOR BAHRU – Penutupan institusi pendidikan akibat jerebu yang sebelum ini tertumpu di Batu Pahat kini diperluaskan ke seluruh Johor apabila semua sekolah di negeri itu diarahkan tutup selama dua hari bermula esok, 8 hingga 9 Oktober.
Langkah berkenaan diambil susulan kemerosotan kualiti udara di negeri itu selain sebagai langkah berjaga-jaga bagi melindungi kesihatan dan keselamatan murid.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, keputusan berkenaan turut menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail supaya semua sekolah ditutup susulan keadaan jerebu.
“Keselamatan dan kesihatan anak-anak Johor perlu menjadi keutamaan kita bersama dalam keadaan semasa ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, proses pembelajaran akan diteruskan sepanjang tempoh penutupan menerusi sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Bagi sekolah yang terlibat dengan Matriks Pembelajaran Tahun 4 (MPT4) atau pentaksiran lain, pelaksanaannya akan ditangguhkan dan dijadualkan semula mengikut ketetapan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) serta pihak berkaitan.
Muhammad Naqib berkata, kerajaan negeri turut memahami penutupan sekolah secara menyeluruh itu mungkin memberi kesan kepada ibu bapa dan penjaga yang perlu bekerja.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak majikan dapat mempertimbangkan fleksibiliti bersesuaian kepada pekerja yang terkesan, termasuk pengaturan kerja munasabah berdasarkan kesesuaian organisasi masing-masing.
“Keputusan ini mungkin menuntut sedikit penyesuaian daripada semua pihak, namun dalam keadaan semasa, keselamatan dan kesihatan anak-anak Johor perlu menjadi keutamaan kita bersama,” katanya.
Kerajaan negeri bersama agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dari semasa ke semasa sebelum sebarang tindakan lanjut diputuskan.
Dalam masa sama, ibu bapa dan penjaga dinasihatkan supaya mengehadkan aktiviti anak-anak di luar rumah, memastikan mereka minum air secukupnya serta memantau sebarang perubahan tahap kesihatan.
“Ibu bapa juga perlu memastikan anak-anak minum air secukupnya serta mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala seperti batuk, sakit tekak atau sesak nafas,” katanya.
Sebelum ini, sebanyak 335 institusi pendidikan di Batu Pahat diarahkan tutup selepas bacaan IPU di daerah berkenaan mencecah paras tidak sihat.
Bacaan IPU Batu Pahat direkodkan pada 177 pada pukul 5 petang hari ini, menurun berbanding 195 pada pukul 7 pagi dan 203 pada pukul 8 malam semalam.
Keadaan jerebu di beberapa kawasan sekitar Batu Pahat dan Parit Raja turut menyebabkan jarak penglihatan menjadi terhad. – MYBERITA
