SHAH ALAM – Penyanyi terkenal, Shila Amzah akhirnya mendedahkan identiti penyanyi legenda yang didakwa menyerangnya sewaktu sesi latihan konsert baru-baru ini ialah Datuk Amy Search.
Pengesahan itu dibuat Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, 35, sekali gus menamatkan spekulasi dalam kalangan netizen yang sebelum ini meneka beberapa nama termasuk Datuk Awie dan Ella sebagai individu terlibat.
“Apa yang pasti bukan Kak Ella atau Datuk Awie. Bukan juga nama-nama lain yang terlibat dengan konsert tersebut. Siapa yang cakap nama Awie tolonglah berhenti. Individu tersebut ialah bapa kepada Nabila Huda (Amy Search),” katanya ketika ditemui media selepas konsert minggu keempat Raise The Star Malaysia, semalam.
Menurut Shila, dia turut bersimpati dengan Datuk Awie yang terkena tempias kontroversi tersebut.
Menceritakan kembali insiden yang disifatkan sebagai satu pengalaman menakutkan, Shila berkata kejadian itu berlaku di hadapan kira-kira 40 individu lain, dan telah memberi kesan besar terhadap kesihatan mentalnya.
“Saya masih terkesan sehingga ke hari ini. Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku dalam industri hiburan kita. Tambahan pula, dia (Amy) seorang yang cukup dihormati dan menjadi idola ramai. Jadi impaknya memang mendalam,” luahnya.
Shila juga menjelaskan bahawa laporan polis yang dibuat bukan bertujuan untuk mencetuskan kontroversi, sebaliknya bagi memastikan keselamatannya terjamin dan mengelakkan kejadian lebih buruk.
“Tujuan saya membuat laporan adalah supaya ada sempadan dan kawalan. Bukan untuk memanjangkan isu tetapi untuk perlindungan diri,” ujarnya.
Ketika ditanya sama ada beliau bersedia menarik balik laporan polis dan berdamai, Shila menyatakan segala-galanya bergantung kepada perubahan sikap Datuk Amy.
“Sejujurnya, saya berada dalam situasi yang sukar. Bukanlah kerana ego, cuma saya perlu lihat ada atau tidak perubahan pada pihak sana. Kalau ada perubahan, insya-Allah hati saya juga boleh lembut,” katanya.
Bagaimanapun, Shila menegaskan bahawa beliau belum bersedia untuk bertemu atau bersemuka dengan Amy buat masa ini.
“Kesan daripada kejadian ini sangat besar terhadap diri saya. Saya perlukan masa untuk pulih sepenuhnya daripada apa yang berlaku,” katanya lagi.
Terdahulu, Shila mengejutkan ramai apabila mendakwa diserang oleh seorang penyanyi legenda sewaktu sesi latihan Konsert Ulang Tahun Ke-20 Mr D.I.Y yang berlangsung di Stadium Merdeka, Khamis lalu.
Berikutan kejadian itu, satu laporan polis telah dibuat dan pihak berkuasa mengesahkan siasatan sedang dijalankan.


