KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sebuah jet peribadi yang ditemukan membawa 521 kilogram (kg) crystal methamphetamine di Laos berlepas dari Subang, Selangor, sebelum mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, seorang rakyat Malaysia turut dikenal pasti antara 13 individu yang ditahan pihak berkuasa Laos susulan rampasan dadah berkenaan.
Bagaimanapun, siasatan awal mendapati warga Malaysia terbabit tidak berada di dalam pesawat jenis Learjet itu ketika penerbangan dari Subang ke Laos.
“Setakat ini, kita belum terima maklumat terperinci ataupun butiran daripada pihak berkuasa dadah Laos. Maklumat yang kita ada sekarang, seorang daripada 13 individu yang ditahan itu membabitkan seorang warga Malaysia dan siasatan mendapati penerbangan itu menggunakan jet peribadi dari Subang ke Laos, namun pesawat itu diterbangkan oleh juruterbang dan pembantu juruterbang yang bukan warganegara Malaysia,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Hussein, pihaknya juga masih menyiasat sama ada sindiket terbabit mempunyai sebarang kaitan dengan kes penahanan seorang juruterbang Malaysia di Indonesia sebelum ini.
Beliau berkata, masih terlalu awal untuk polis membuat sebarang kesimpulan mengenai kemungkinan wujud hubungan antara kedua-dua kes tersebut.
Media Laos sebelum ini melaporkan pihak berkuasa negara itu berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 500 bungkusan crystal methamphetamine melalui jalan udara pada 1 Oktober lalu.
Pemeriksaan terhadap Learjet bernombor pendaftaran N73GP menemukan 23 beg pakaian, dengan 21 daripadanya dilaporkan dipenuhi bahan berhablur putih disyaki dadah dengan berat keseluruhan kira-kira 521kg.
Operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang dilancarkan kira-kira pukul 1.30 tengah hari selepas pihak berkuasa wilayah menerima maklumat perisikan pada 21 September mengenai kegiatan sebuah sindiket rentas sempadan.
Seramai 13 individu ditahan dalam operasi itu termasuk juruterbang, pembantu juruterbang, seorang pelancong asing, tiga pekerja sebuah syarikat swasta serta tujuh kakitangan lapangan terbang, termasuk tiga wanita.
Siasatan lanjut kini dijalankan pihak berkuasa Laos, manakala PDRM masih menunggu maklumat terperinci berhubung identiti serta penglibatan rakyat Malaysia yang ditahan dalam kes berkenaan. – ASTRO AWANI
