KUALA LUMPUR – Batu Pahat, Johor mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi di negara ini apabila merekodkan 195 setakat jam 6 pagi ini, susulan keadaan jerebu yang menjejaskan 33 kawasan.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), sebanyak 33 stesen pemantauan merekodkan bacaan pada tahap tidak sihat iaitu antara 101 hingga 200.
Selain Batu Pahat, bacaan tinggi turut dicatatkan di Nilai dan Johan Setia masing-masing 188, Cheras (186), Putrajaya (183) serta Seremban (181).
Shah Alam merekodkan bacaan 179, diikuti Segamat (178), Batu Muda (176), Petaling Jaya, Bukit Rambai dan Bandaraya Melaka masing-masing 174.
Johor mencatat jumlah kawasan tidak sihat paling banyak dengan sembilan stesen pemantauan terjejas, termasuk Pasir Gudang (172), Tangkak (171), Larkin (165), Pengerang (164), Kota Tinggi (163) dan Kluang (161).
Di Pahang pula, Temerloh merekodkan bacaan 166, manakala Indera Mahkota Kuantan (163), Jerantut (160), Balok Baru Kuantan (158) dan Rompin (157).
Kemaman dan Paka di Terengganu masing-masing mencatat bacaan 156, manakala Tawau, Sabah merekodkan 154, Tanjung Malim, Perak (153) dan Serian, Sarawak (152).
Dalam pada itu, sebanyak 32 kawasan berada pada tahap sederhana, antaranya Kuching (99), Kuala Terengganu (100), Kota Bharu (89), Sungai Petani (78) dan Seberang Jaya (75).
Hanya tiga kawasan mencatatkan kualiti udara pada tahap baik iaitu Kota Kinabalu, Sabah dengan bacaan 50, Kangar, Perlis (38) dan Langkawi, Kedah (30).
Menurut klasifikasi APIMS, bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala bacaan 51 hingga 100 adalah sederhana dan 0 hingga 50 berada pada tahap baik.
Keadaan itu menyebabkan orang ramai, khususnya kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai masalah pernafasan, dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar dan mengambil langkah perlindungan sewajarnya sepanjang keadaan jerebu berterusan. – Astro AWANI
