KUALA LUMPUR – Keadaan jerebu terus menjejaskan kualiti udara negara apabila tiada satu pun kawasan pemantauan merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap baik setakat pukul 9 pagi ini.
Sebanyak 38 kawasan mencatatkan bacaan IPU tidak sihat, dengan Segamat, Johor merekodkan paras tertinggi iaitu 187, diikuti Nilai, Negeri Sembilan (183) dan Seremban (182).
Berdasarkan data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) kendalian Jabatan Alam Sekitar (JAS), beberapa kawasan lain turut merekodkan bacaan menghampiri paras sangat tidak sihat.
Di Johor, Pasir Gudang mencatatkan IPU 180, diikuti Kluang (179), Larkin (178), Tangkak (172), Pengerang (165), Kota Tinggi (164) dan Batu Pahat (161).
Sementara itu, Selangor turut terjejas dengan Johan Setia merekodkan bacaan 178, Shah Alam (170), Banting (167), Klang (166), Petaling Jaya (165) dan Kuala Selangor (155).
Di Kuala Lumpur, Cheras mencatatkan bacaan 172 manakala Batu Muda merekodkan 168, sementara Putrajaya mencatatkan IPU 173.
Keadaan sama turut berlaku di Melaka membabitkan Bukit Rambai (172), Bandaraya Melaka (171) dan Alor Gajah (167), manakala Port Dickson di Negeri Sembilan merekodkan bacaan 168.
Di Pahang, kawasan terjejas termasuk Rompin, Indera Mahkota, Balok Baru di Kuantan dan Temerloh, dengan bacaan yang dilaporkan antara 153 hingga 174.
Perak pula merekodkan bacaan tidak sihat di Seri Manjung (160), Tasek Ipoh (159), Taiping (154), Pegoh Ipoh (153) dan Tanjung Malim (152).
Di Pulau Pinang, tiga kawasan terjejas ialah Seberang Perai (156), Minden (155) dan Seberang Jaya (153), manakala Sungai Petani di Kedah merekodkan bacaan 153.
Dua kawasan di Terengganu turut mencatatkan IPU tidak sihat iaitu Kemaman (155) dan Paka (146).
Dalam perkembangan sama, sebanyak 30 kawasan lain mencatatkan bacaan IPU sederhana, manakala tiada kawasan merekodkan tahap kualiti udara baik.
Mengikut klasifikasi JAS, bacaan IPU antara sifar hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana dan 101 hingga 200 tidak sihat.
Bacaan antara 201 hingga 300 pula dikategorikan sebagai sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 berada pada tahap berbahaya.
Orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini kualiti udara melalui portal rasmi APIMS di apims.doe.gov.my. – BERNAMA
