KUALA LUMPUR – Kualiti udara di beberapa kawasan di negara ini semakin membimbangkan apabila 37 kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 11 pagi ini, dengan Seremban, Negeri Sembilan muncul lokasi paling terjejas.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Seremban mencatat bacaan IPU 187, diikuti Bukit Rambai, Melaka dengan 185 dan Pasir Gudang, Johor (184).
Nilai, Negeri Sembilan, Bandaraya Melaka dan Segamat, Johor masing-masing merekodkan bacaan 183, manakala Johan Setia, Selangor mencatat 182.
Tangkak, Johor turut merekodkan bacaan tinggi iaitu 181, diikuti Tasek Ipoh, Perak (180).
Johor antara negeri yang terjejas apabila lapan kawasan mencatat bacaan tidak sihat, termasuk Larkin (176), Kluang (175), Pengerang (174), Batu Pahat (169) dan Kota Tinggi (168).
Di Selangor, Shah Alam merekodkan bacaan IPU 177, diikuti Petaling Jaya dan Banting masing-masing 168, Klang (166) serta Kuala Selangor (153).
Sementara itu, lima kawasan di Perak turut merekodkan bacaan tidak sihat, iaitu Pegoh Ipoh dan Tanjung Malim masing-masing 174, Seri Manjung (159) serta Taiping (125), selain Tasek Ipoh.
Di Wilayah Persekutuan, Batu Muda, Cheras dan Putrajaya masing-masing mencatat bacaan 170.
Pahang turut terjejas dengan Rompin merekodkan bacaan 168, Indera Mahkota, Kuantan (161) dan Temerloh (154), manakala Sungai Petani dan Alor Setar di Kedah masing-masing mencatat 156 dan 153.
Di Pulau Pinang, Minden merekodkan bacaan 154, diikuti Seberang Jaya (152), manakala Seberang Perai mencatat 119. Kemaman, Terengganu pula merekodkan bacaan 153.
Bagaimanapun, semua kawasan di Sabah, Sarawak, Labuan, Kelantan dan Perlis masih berada pada tahap sederhana.
Mengikut klasifikasi APIMS, bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala bacaan 51 hingga 100 berada pada tahap sederhana.
Sehubungan itu, orang ramai, khususnya kanak-kanak, warga emas dan individu yang mengalami masalah pernafasan, disaran mengurangkan aktiviti luar serta mengambil langkah perlindungan sewajarnya sepanjang keadaan jerebu berlarutan. – Astro AWANI
