KUALA LUMPUR – Sebanyak 33 kawasan di seluruh negara merekodkan kualiti udara pada tahap tidak sihat setakat jam 6 pagi ini, dengan Batu Pahat, Johor mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi iaitu 189.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Johor menjadi negeri paling terjejas dengan lapan kawasan merekodkan bacaan tidak sihat.
Selain Batu Pahat, kawasan terbabit ialah Pasir Gudang dan Tangkak masing-masing dengan bacaan 186, Larkin (185), Segamat (183), Kluang (177), Kota Tinggi (174) serta Pengerang (169).
Keadaan sama turut berlaku di Negeri Sembilan apabila Seremban mencatat IPU 186, diikuti Nilai (180) dan Port Dickson (166).
Di Lembah Klang, Cheras merekodkan bacaan 175, diikuti Batu Muda dan Johan Setia masing-masing pada paras 171, Shah Alam (170), Putrajaya (169), Petaling Jaya dan Klang masing-masing (162), Banting (159) serta Kuala Selangor (154).
Sementara itu, Melaka turut mencatat bacaan tidak sihat di Bukit Rambai (178), Bandaraya Melaka (175) dan Alor Gajah (174).
Di Perak, bacaan tertinggi direkodkan di Tasek Ipoh dengan 176, diikuti Pegoh Ipoh (172), Tanjung Malim (169) dan Seri Manjung (156).
Pahang pula merekodkan bacaan 167 di Rompin, manakala Temerloh dan Indera Mahkota, Kuantan masing-masing mencatat 152.
Di luar Semenanjung, Kuching, Sarawak merekodkan IPU 151. Seberang Perai, Pulau Pinang pula mencatat 137, manakala Sungai Petani, Kedah merekodkan bacaan 119.
Dalam pada itu, sebanyak 35 stesen pemantauan lain berada pada tahap sederhana dengan bacaan IPU antara 54 hingga 99.
Mengikut klasifikasi APIMS, bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala bacaan antara 51 hingga 100 berada pada tahap sederhana.
Orang ramai, khususnya kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan, disaran mengurangkan aktiviti luar serta memakai pelitup muka jika perlu berada di kawasan berjerebu.
Setakat jam 6 pagi ini, tiada kawasan merekodkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat atau berbahaya.
