KUALA LUMPUR – Di sebalik kejayaan mencipta nama sebagai penyanyi, Nadeera Zaini mendedahkan realiti industri hiburan yang bukan sahaja menilai seseorang artis berdasarkan bakat, malah turut mengambil kira rupa paras dan penampilan fizikal.
Penyanyi berusia 33 tahun itu mengakui pernah melalui pengalaman dinilai berdasarkan ciri fizikal sepanjang lebih sedekad memperjuangkan bakatnya dalam industri muzik tanah air.
Menurut Nadeera, meskipun kemampuan vokal sepatutnya menjadi keutamaan, seseorang artis perlu menerima hakikat bahawa penampilan turut menjadi antara aspek yang mendapat perhatian.
“Sejujurnya, berdasarkan pengalaman saya sendiri, saya pun pernah dinilai berdasarkan ciri fizikal dan rupa.
Secara peribadi, saya kena akui dalam industri seni ini, orang bukan mahu dengar bakat kita semata-mata, tetapi mereka juga melihat daripada segi fizikal,” katanya seperti dilaporkan BH Online.
Bagaimanapun, penyanyi kelahiran Mersing, Johor itu menegaskan bakat nyanyian tetap menjadi keutamaan dalam membina kerjaya, selain sentiasa berusaha memperbaiki penampilan diri.
Dalam perkembangan sama, Nadeera turut menjelaskan tindakannya sering menghulurkan mikrofon kepada penonton ketika membuat persembahan bukan disebabkan gagal menyanyikan bahagian tertentu dalam lagunya.
Sebaliknya, beliau mengakui terlalu teruja apabila melihat peminat mampu menghafal dan menyanyikan lagu-lagunya bersama-sama.
“Sebelum dikenali, saya pernah berdoa sangat supaya orang menyanyikan lagu saya dan boleh menyanyi bersama ketika saya membuat persembahan. Jadi, apabila saya lihat peminat menyanyi sama-sama, saya jadi terlalu teruja. Sebab itu setiap kali membuat persembahan, saya hulurkan mikrofon. Bukan sebab saya tidak boleh menyanyikan bahagian itu, cuma saya terlalu teruja sampai ada masa saya terlupa orang bayar kita untuk menyanyi,” jelasnya.
Mengulas kritikan netizen berhubung tindakannya itu, Nadeera berkata, beliau memilih untuk menerima teguran secara terbuka meskipun mengakui ada kalanya berasa geram dengan komen yang dilemparkan.
Namun, penyanyi berkenaan tidak menganggap kecaman sebagai alasan untuk menyekat mana-mana pengguna media sosial, sebaliknya menjadikan kritikan sebagai dorongan memperbaiki diri.
“Terima kasih sebab ambil berat. Walaupun ada masanya rasa geram juga, kecaman sebenarnya menjadikan saya lebih kuat. Sampai satu tahap, saya boleh gelak sahaja dengan apa yang mereka katakan. Bagi saya, selagi perkara itu boleh membuatkan saya menjadi lebih baik dan lebih matang dalam mengendalikan kerjaya, saya terima. Saya cuma mahu terus bekerja keras dan buktikan kemampuan melalui apa yang saya lakukan,” katanya.
Terdahulu, nama Nadeera semakin mendapat perhatian menerusi lagu popular Bukan Lagi Kita yang meraih lebih 100 juta tontonan di YouTube, sekali gus menjadi antara pencapaian terbesar sepanjang perjalanan kerjaya seninya. – BERITA HARIAN
