KUALA LUMPUR – Gelagat sekumpulan kanak-kanak yang membaca doa buat tuan rumah sebelum pulang mengingatkan kembali suasana Aidilfitri yang penuh adab dan kesederhanaan suatu ketika dahulu.
Menerusi perkongsian oleh pengguna Threads @nadiasamjohari, salah seorang daripada mereka memimpin doa sebagai tanda penghargaan kepada tuan rumah yang menerima kunjungan mereka.
Katanya, amalan membaca doa untuk tuan rumah sebelum pulang selepas beraya memperlihatkan nilai murni serta didikan keluarga yang baik.
“Bagus budak-budak ini, datang beraya, lepas makan sebelum balik mereka baca doa untuk tuan rumah dulu. Alhamdulillah, bagus didikan mak bapa mereka,” katanya
Doa yang dibacakan itu dipercayai sebagai tanda terima kasih atas layanan yang diberikan sepanjang kunjungan.
Tindakan kanak-kanak ini juga menyentuh perasaan orang ramai kerana menunjukkan didikan yang baik serta sikap menghormati tuan rumah ketika berkunjung pada musim perayaan.
View on Threads
Meninjau ruangan komen, rata-rata pengguna memuji adab kanak-kanak tersebut dan menyifatkan amalan membaca doa sebelum pulang sebagai satu contoh yang wajar dicontohi oleh generasi muda.
“Ya Allah, baik budi pekerti dia,” kata seorang pengguna.
Ada juga yang menyatakan tindakan itu menggambarkan didikan keluarga yang menitikberatkan adab serta menghargai orang lain walaupun dalam situasi santai seperti beraya dari rumah ke rumah. -MYBERITA

