Jumaat, Jun 19, 2026
spot_img
HomeFILEMGBGTH buka ruang mangsa jenayah seksual berani bersuara

GBGTH buka ruang mangsa jenayah seksual berani bersuara

KUALA LUMPUR – Drama bersiri Good Boys Go To Heaven (GBGTH) dilihat bukan sekadar karya hiburan apabila ia mula mencetus keberanian dalam kalangan orang ramai untuk tampil berkongsi pengalaman menjadi mangsa jenayah seksual, menurut pelakon utamanya Beto Kusyairy.

Beto berkata, reaksi penonton terhadap drama tersebut menunjukkan ia berjaya membuka ruang perbincangan yang sebelum ini dianggap terlalu sensitif dan sukar dibicarakan secara terbuka.

“Ramai yang mula bercakap dan membincangkan jalan cerita GBGTH di media sosial ibarat memberi satu kepuasan kepada saya. Akhir-akhir ini juga saya ada menerima mesej peribadi daripada individu yang berani berkongsi pengalaman mereka,” katanya.

Menurutnya lagi, lebih mengharukan apabila ada penonton yang mengakui pernah melalui pengalaman hampir sama seperti dipaparkan dalam drama itu, sekali gus membuktikan isu berkenaan masih berlaku dalam masyarakat.

“Ada yang mengakui mereka pernah melalui situasi hampir sama melibatkan individu yang dipercayai. Ini perkembangan positif sebab mereka sudah berani bersuara,” katanya.

Tambah Beto, isu berkaitan jenayah seksual tidak seharusnya lagi dianggap tabu atau memalukan sehingga menghalang mangsa daripada bersuara.

“Saya berharap isu seperti ini tidak lagi dianggap sebagai satu tabu. Mungkin dahulu soal maruah dan nama baik keluarga menjadi penghalang, tetapi saya percaya keadaan kini sudah banyak berubah,” jelasnya.

Katanya lagi, tujuan utama GBGTH bukan untuk mendidik secara langsung, sebaliknya membuka ruang kesedaran kepada masyarakat mengenai realiti isu tersebut.

Terdahulu, GBGTH yang mengangkat kisah pembunuhan berkait jenayah seksual terhadap seorang kanak-kanak lelaki menjadi perbualan hangat di media sosial apabila penonton mula ‘bermain detektif’ untuk meneka pelaku sebenar dalam kalangan watak drama berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-spot_img