KUALA LUMPUR – Daripada menambah kamera litar tertutup (CCTV) dan pembantu warden di asrama sehingga menyediakan saluran aduan tanpa nama, Kementerian Pendidikan (KPM) memperincikan beberapa langkah yang telah dan sedang dilaksanakan dalam usaha menangani isu buli di sekolah.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata usaha itu tidak boleh dianggap selesai selagi masih terdapat murid yang berasa tidak selamat ketika berada di sekolah.
“Orang tanya, apa sebenarnya yang kita buat untuk tangani buli? Ada yang sudah kita mulakan. Ada juga yang baru ditambah apabila melihat masih ada ruang yang perlu diperbaiki.
“Kita tidak boleh mudah berpuas hati dengan apa yang sudah dibuat. Selagi ada anak yang belum rasa selamat di sekolah, kerja kita belum selesai,” katanya menerusi hantaran di Threads.
Antara langkah diketengahkan ialah pelaksanaan Kerangka S.A.F.E. yang memberi tumpuan kepada pencegahan, intervensi awal dan pemulihan, termasuk melalui Pembimbing Rakan Sebaya serta kaunseling berfokus. Rekod Parlimen pada Julai lalu turut menyatakan kerangka itu merangkumi pendekatan pencegahan, perkembangan, pemulihan dan pengurusan krisis.
KPM juga mempunyai Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli yang diperkenalkan pada 2023 sebagai rujukan rasmi kepada sekolah dalam menerima aduan, menjalankan siasatan, mengambil tindakan disiplin serta melaksanakan intervensi.
Pada masa sama, pendidikan karakter akan diberi penekanan dalam Kurikulum Persekolahan 2027 dengan tumpuan terhadap pembentukan nilai dan sahsiah murid termasuk integriti serta empati.
Aspek pemantauan fizikal di sekolah berasrama turut diperkukuh. Sebanyak 200 sekolah berasrama telah dilengkapi CCTV pada 2025, manakala peruntukan tambahan RM5 juta diluluskan bagi memperluaskan pemasangan ke 333 sekolah berasrama pada 2026.
Selain penggunaan teknologi, KPM turut menambah pemantauan manusia menerusi penempatan 300 Personel MySTEP Pembantu Warden Asrama (MyPWA) bermula 1 April lalu bagi membantu warden, khususnya dalam pemantauan murid pada waktu malam.
Saluran aduan buli KPM pula ditambah baik dengan fungsi aduan tanpa nama bagi melindungi identiti pengadu dan saksi, sekali gus memberi ruang kepada murid untuk membuat laporan dengan lebih selamat.
Dalam aspek perundangan, Fadhlina turut mengetengahkan kerjasama KPM dengan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri berkaitan Akta Antibuli 2026 dan penubuhan tribunal sebagai saluran pembelaan kepada mangsa. Rekod Dewan Rakyat pada Julai lalu turut menyebut kewujudan Tribunal bagi Antibuli untuk memperkukuh pencegahan, perlindungan mangsa dan penguatkuasaan.
Fadhlina dalam hantarannya turut mengakui keresahan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak, sambil berkongsi bahawa beliau sendiri seorang ibu dan pernah mempunyai anak yang tinggal di asrama dalam sistem pendidikan sama.
Penjelasan itu dibuat ketika isu buli di sekolah terus menjadi perhatian masyarakat, dengan KPM menegaskan pendekatan menangani masalah berkenaan tidak hanya tertumpu kepada tindakan selepas kejadian, sebaliknya turut melibatkan pencegahan, pemantauan, pendidikan karakter, saluran aduan dan intervensi awal. – Threads Fadhlina Sidek
