Jumaat | 02/10/2026 | 5:01:10 pm
HomeJenayahImej petugas media diubah jadi lembu, KMP buat laporan polis

Imej petugas media diubah jadi lembu, KMP buat laporan polis

PUTRAJAYA – Tindakan sebuah akaun media sosial memanipulasi imej jurugambar dan wartawan sehingga digambarkan sebagai lembu ketika menjalankan tugas di Pusara Negara mencetuskan bantahan Kelab Media Putrajaya (KMP), yang tampil membuat laporan polis hari ini.

KMP berkata, laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya susulan penyebaran kandungan berkenaan yang dipercayai memaparkan petugas media ketika membuat liputan kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di pusara isterinya, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, semalam.

Menurut KMP, pihaknya memandang serius tindakan memanipulasi imej berkenaan, lebih-lebih lagi apabila hantaran tersebut turut disertakan kapsyen berbunyi ‘Akal waras semakin sukar ditemui’.

“Lebih mengecewakan, imej tersebut disertakan dengan kapsyen ‘Akal waras semakin sukar ditemui’ yang dilihat sebagai penghinaan terhadap petugas media yang sedang melaksanakan tanggungjawab profesional.

“KMP ingin menegaskan petugas media tidak menerima sebarang pemakluman rasmi mengenai sekatan atau larangan rakaman daripada pejabat Tun Dr Mahathir dan keluarga di lokasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KMP menjelaskan, pengamal media yang berada di lokasi memahami etika kewartawanan termasuk keperluan menghormati privasi, nilai kemanusiaan dan sensitiviti keluarga, khususnya ketika membuat liputan dalam suasana dukacita.

Menurut kelab itu, kehadiran petugas media di lokasi berkenaan adalah sebahagian daripada tanggungjawab mereka untuk mendokumentasikan peristiwa yang mempunyai kepentingan kepada masyarakat dan negara.

“KMP memahami hak setiap individu untuk mengkritik namun, kebebasan bersuara tidak seharusnya dijadikan alasan untuk merendahkan atau menghina petugas media,” katanya.

KMP turut menegaskan bahawa sebarang teguran terhadap pengamal media sewajarnya dibuat berasaskan fakta serta mengambil kira konteks sebenar sesuatu kejadian.

“Tindakan mengubah imej petugas media menjadi haiwan adalah sesuatu yang biadap, tidak beretika dan tidak bertanggungjawab,” katanya.

Susulan kejadian itu, KMP berkata laporan turut dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membolehkan tindakan sewajarnya dipertimbangkan terhadap pemilik akaun terbabit.

Dalam perkembangan berkaitan, MCMC hari ini mengesahkan pihaknya memandang serius penyebaran kandungan media sosial yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk memanipulasi rakaman Dr Mahathir ketika melalui detik dukacita susulan pemergian isterinya.

MCMC memaklumkan pihaknya sudah berhubung dengan platform media sosial berkaitan dan sedang meneliti kandungan tersebut, dengan tindakan boleh diambil sekiranya penelitian mendapati berlaku pelanggaran undang-undang termasuk di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

KMP dalam pada itu menegaskan akan terus mempertahankan maruah, keselamatan serta hak warga media untuk menjalankan tugas secara profesional tanpa berdepan penghinaan atau serangan peribadi. – KOSMO

Wartawan MYBERITA
Wartawan MYBERITAhttps://portalmyberita.com/
Wartawan MYBERITA membawakan laporan berita semasa, nasional dan perkembangan terkini dari seluruh Malaysia dengan penyampaian yang pantas, tepat dan mudah difahami.
RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Jumaat, 2 Oktober 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|