Sabtu | 03/10/2026 | 12:00:38 am
HomeDuniaIndonesia: Dua pulau baharu dikesan selepas letusan Anak Krakatau

Indonesia: Dua pulau baharu dikesan selepas letusan Anak Krakatau

JAKARTA – Letusan berterusan Gunung Anak Krakatau selama 25 jam bulan lalu dipercayai mencetuskan pembentukan dua struktur menyerupai pulau baharu di perairan sekitar gunung berapi itu.

Kewujudan kedua-dua formasi berkenaan dikesan menerusi imej satelit Sentinel di kawasan kaldera berair tempat Gunung Anak Krakatau berada di Selat Sunda, antara Pulau Jawa dan Sumatera.

Ketua Pusat Vulkanologi dan Pengurusan Bencana Geologi (PVMBG), Rita Susilawati berkata, penemuan itu bagaimanapun masih belum mencukupi untuk mengesahkan kedua-dua formasi tersebut sebagai pulau baharu yang terbentuk daripada aktiviti gunung berapi.

“Berdasarkan penilaian imej satelit Sentinel, dua pembentukan menyerupai pulau kecil boleh dilihat di sekitar gunung berapi Anak Krakatau di Selat Sunda antara Pulau Jawa dan Sumatera,” katanya kepada AFP hari ini.

Menurutnya, satu daripada formasi itu berada kira-kira 760 meter di barat laut Gunung Anak Krakatau, manakala satu lagi terletak sekitar 495 meter di barat daya gunung berkenaan.

Rita berkata, pihaknya masih terlalu awal untuk menggelarkan kedua-dua struktur tersebut sebagai ‘anak’ kepada Gunung Anak Krakatau.

Gunung Anak Krakatau sendiri terbentuk hasil aktiviti letusan Gunung Krakatau pada 1883 yang terkenal sebagai antara letusan gunung berapi paling dahsyat dalam sejarah moden.

Bulan lalu, Gunung Anak Krakatau dilaporkan meletus tanpa henti selama kira-kira 25 jam, menyebabkan abu gunung berapi menyelubungi beberapa kawasan sekitar dan mengganggu operasi penerbangan.

Akibat kejadian itu, beberapa lapangan terbang terpaksa ditutup, manakala lebih 300,000 penumpang dilaporkan terkandas sepanjang tempoh berkenaan.

Perkembangan terbaharu itu kini menjadi perhatian kerana bentuk muka bumi di sekitar Anak Krakatau terus berubah susulan aktiviti gunung berapi tersebut. – KOSMO!

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Sabtu, 3 Oktober 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|