Jumaat | 02/10/2026 | 11:59:40 pm
HomeSukanGP BahrainVerstappen kembali 'tawan' Sepang, catat masa terpantas hari pertama

Verstappen kembali ‘tawan’ Sepang, catat masa terpantas hari pertama

SEPANG – Sembilan tahun selepas memenangi perlumbaan Formula Satu (F1) terakhir di Sepang, Max Verstappen kembali menunjukkan penguasaannya apabila mencatat masa terpantas keseluruhan pada hari pertama Grand Prix (GP) Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Pelumba Red Bull Racing itu mencatat masa sepusingan 1 minit 37.520 saat (s) pada sesi latihan bebas pertama (FP1), sekali gus mengatasi George Russell dari Mercedes dengan kelebihan 0.383s.

Catatan tersebut kekal sebagai masa terpantas sepanjang dua sesi latihan hari ini meskipun pelumba Ferrari, Charles Leclerc mengungguli sesi latihan bebas kedua (FP2) dengan 1:37.528s — hanya 0.008s lebih perlahan berbanding masa terbaik Verstappen.

Verstappen pula menamatkan FP2 di kedudukan keempat selepas mencatat 1:37.785s, di belakang Leclerc, Isack Hadjar dan Lando Norris. Menariknya, masa terbaik Verstappen pada sesi berkenaan dilakukan menggunakan tayar medium, berbeza dengan beberapa pencabar di hadapannya yang menggunakan tayar lembut.

Prestasi itu memberi petanda positif buat juara dunia empat kali berkenaan dalam kepulangannya ke Sepang, litar yang menyaksikannya muncul juara pada perlumbaan F1 terakhir di Malaysia pada 2017.

Verstappen mengakui permulaan hujung minggu perlumbaan kali ini agak memberangsangkan, namun masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki terutama dalam menguruskan tayar dalam keadaan panas di Sepang.

“Saya fikir kami mengharungi permulaan cukup baik untuk minggu perlumbaan di sini kerana Sepang merupakan satu litar yang sukar, terutamanya dengan cuaca panas yang boleh menyebabkan tayar cepat haus.

“Masih banyak perkara yang perlu diperbaiki, jadi sukar untuk cakap sama ada kami buat progres ataupun tidak. Saya boleh katakan sesi kedua lebih redup berbanding sesi pertama,” katanya.

Cabaran pengurusan tayar dijangka menjadi antara faktor penting sepanjang hujung minggu ini selepas suhu trek mencecah sehingga 54 darjah Celsius pada hari pertama, sekali gus meningkatkan tahap degradasi tayar.

Persaingan rapat antara Red Bull, Ferrari, McLaren dan Mercedes pada dua sesi awal turut memberi gambaran bahawa perebutan petak hadapan dalam sesi kelayakan bakal berlangsung sengit.

Selepas dua sesi latihan hari ini, pelumba akan kembali ke trek untuk sesi latihan bebas ketiga sebelum menghadapi sesi kelayakan pada Sabtu, manakala perlumbaan utama dijadualkan berlangsung Ahad. – MYBERITA

Alif Aiman
Alif Aiman
Sebahagian daripada pasukan editorial MYBERITA yang memberi tumpuan kepada penyampaian berita pantas, tepat dan mudah difahami.
RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Jumaat, 2 Oktober 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|