KUALA LUMPUR – Personaliti media sosial dan usahawan terkenal, Khairulaming, mengumumkan kejayaan luar biasa apabila produk keluarannya, Sambal Nyet Berapi dan Dendeng Nyet Berapi, mencatat hasil jualan mencecah RM42 juta bagi tahun 2024.
Melalui satu hantaran di media sosial pada Selasa malam, Khairulaming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman, berkongsi bahawa jualan tahun ini meningkat sebanyak 110 peratus berbanding RM20 juta pada tahun sebelumnya.
Menurutnya, pencapaian ini hasil beberapa perubahan strategik yang dilakukan, antaranya dengan memanfaatkan platform penstriman langsung (live stream) yang kini menjadi trend utama dalam pasaran e-dagang.
\”Sebanyak 70 peratus daripada jualan RM42 juta ini datang daripada live stream kerana interaksi dengan pelanggan lebih kuat,\” katanya.
Selain itu, beliau turut mempertingkatkan kapasiti pengeluaran bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat. Jika sebelum ini Sambal Nyet hanya mampu menghasilkan 1,000 hingga 3,000 unit sehari, kini strategi pengeluaran Dendeng Nyet diubah sejak awal untuk memastikan stok sentiasa mencukupi.
Mengulas mengenai perancangan masa depan, Khairulaming memaklumkan pihaknya akan membuka kilang ketiga di Kelantan, memperkenalkan produk baharu, serta memperluaskan pasukan penstriman langsung bagi tahun 2025.
\”Alhamdulillah, sudah lima tahun kami berniaga. Dengan sokongan anda semua, harap perniagaan ini dapat berkembang lebih jauh pada masa akan datang,\” katanya.
-Iklan-



.png/%22)