KUALA LUMPUR – Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 kembali dengan penganjuran terbesar dalam sejarahnya, bukan sekadar sebagai acara tahunan, tetapi sebagai medan penting dalam mengangkat martabat buku serta memperkukuh budaya membaca dalam kalangan masyarakat.
Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), Kementerian Pendidikan (KPM), Aniza Kamarulzaman berkata, PBAKL menjadi platform menyemarakkan ekosistem ilmu yang merangkumi pelbagai lapisan masyarakat termasuk pemimpin, ilmuwan, pengarang, penerbit, guru dan pembaca.
“Tema tahun ini, ‘Buku: Membaca dan Memimpin’ membawa maksud strategik dalam usaha memperkukuh budaya membaca sebagai asas kepada pembinaan pemimpin masa depan. PBAKL juga membuka ruang sinergi antara cetakan dan digital; pendidik dan pengkarya; serta pelajar dan pemikir,” katanya ketika berucap pada Majlis Pembuka Tirai PBAKL Ke-42 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), semalam.
Turut hadir, Pengerusi Pengelola PBAKL, Mohd Khair Ngadiron.
Aniza menambah, PBAKL 2025 menampilkan pelbagai keterujaan baharu termasuk penglibatan pempamer antarabangsa, kerjasama antara kementerian, program digital serta penyertaan aktif sekolah dan komuniti pendidikan dari seluruh negara.
Penganjuran kali ini menyaksikan 1,172 reruai dan 258 pempamer termasuk 28 dari luar negara seperti ASEAN, Iran, United Kingdom dan Emiriah Arab Bersatu, menjadikannya antara acara buku paling mendapat sambutan di dunia, dengan jangkaan kehadiran lebih 1.9 juta pengunjung sepanjang 10 hari berlangsungnya pesta itu.
PBAKL juga diiktiraf sebagai salah satu daripada 12 festival sastera terbaik dunia oleh portal pelancongan Zicasso berpangkalan di Silicon Valley, Amerika Syarikat.
Aniza menegaskan, penglibatan pelbagai kementerian dan rakan strategik dalam PBAKL 2025 menunjukkan pendekatan menyeluruh dalam mengangkat ekosistem perbukuan negara, memperluas akses, memartabatkan penerbit tempatan serta mendidik generasi celik maklumat.

