AYER KEROH – Seorang warga emas berusia 73 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan di sebuah stor masjid di Semabok, dalam kejadian yang didakwa berlaku bulan ini.
Tertuduh, Aziz Mohammad @ Teh Eng Guan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun pada kira-kira pukul 1.05 tengah hari, 15 Jun lalu, di bahagian bilik stor sebuah masjid di Semabok.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di lokasi sama pada 22 Jun lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rif’ah ‘Izzati Abdul Mutalif yang memohon mahkamah menetapkan jaminan RM25,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Beliau turut memohon syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta diwajibkan melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.
Bagaimanapun, peguam bela, Amritpal Singh memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan pada kadar minimum dengan alasan anak guamnya masih menanggung tiga anak, termasuk seorang anak yang menghidap autisme.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Selain itu, mahkamah turut mengenakan syarat supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 29 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.


