Ahad | 27/09/2026 | 4:34:16 pm
HomeHiburanMimifly 'Ratu' AIM 25, bolot lima trofi

Mimifly ‘Ratu’ AIM 25, bolot lima trofi

KUCHING – Malam Anugerah Industri Muzik Ke-25 (AIM 25) menjadi milik Mimifly apabila penyanyi dan komposer itu muncul sebagai pemenang terbesar dengan membolot lima trofi sekali gus, malam tadi.

Dominasi Mimifly pada edisi Jubli Perak itu menyaksikan beliau meninggalkan nama-nama besar lain termasuk Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang membawa pulang empat trofi.

Mimifly meraih kemenangan menerusi kategori Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu menerusi Nara, manakala Serumpunmenghadiahkannya trofi Lagu Perayaan Terbaik serta Lagu Dengan Video Kreasi Terbanyak Di TikTok.

Lagu Temberang pula melengkapkan malam gemilang penyanyi itu apabila memenangi Video Muzik Terbaik dan Lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik.

Pencapaian lima trofi itu sekali gus meletakkan Mimifly sebagai artis paling banyak meraih kemenangan pada AIM 25 yang berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK).

Siti Nurhaliza pula membuktikan pengaruhnya masih kukuh apabila memenangi Vokal Wanita Terbaik menerusi Kesuma, selain Lagu Tradisional Terbaik dan Lagu Terbaik menerusi Pesanan Buat Diri.

Satu lagi kemenangan Siti hadir menerusi Cenderamaya bagi kategori Kolaborasi Terbaik Oleh Artis Tempatan Dan Artis/Penggubah Antarabangsa.

Sebelum malam kemuncak, penyanyi tersohor itu mendominasi pencalonan AIM 25 dengan 14 pencalonan termasuk Album Terbaik menerusi album tradisional Gema Bumantara.

Bagaimanapun, trofi Album Terbaik menjadi milik Aisha Retno menerusi [RE] selepas mengenepikan Sa25 oleh Shila Amzah, Album: Lelaki Gila oleh Naim Daniel dan Adnin Roslan, Gema Bumantara oleh Siti Nurhaliza serta Jati Dirioleh Faizal Tahir dan Let Zapin.

“[RE]” turut memenangi Rakaman Album Terbaik, manakala Aisha melengkapkan tiga kemenangan menerusi O.R.B.I.Tbagi kategori Lagu Tempatan Bahasa Inggeris Terbaik.

Kemenangan Album Terbaik itu turut melayakkan Aisha, 26, menerima RM200,000 menerusi Dana Kandungan Digital (DKK) Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures.

Dalam kategori lain, Arddley Nicholas mencipta kejutan apabila dinobatkan sebagai pemenang Vokal Lelaki Terbaik menerusi Sandiwara Cinta, menewaskan Hazama, Pasya, Ryenald Guntabid dan Syamel.

Alpha pula meraih Artis Baharu Terbaik menerusi Mona Lisa, sementara Inteam memenangi Vokal Kumpulan Terbaik menerusi Satukan Kami Di Syurga.

Marsha Milan turut mencatat detik istimewa apabila meraih trofi AIM pertamanya menerusi Pelangi Pasti ciptaan Amir Jahari bagi kategori Lagu Etnik Terbaik.

Hazama juga akhirnya meraih trofi AIM pertamanya selepas Aku Bukan Narsisis memenangi Lagu Tema Terbaik Dalam Filem/Drama.

Sementara itu, Ratu Rock negara, Ella Aminuddin menerima Anugerah Sri Wirama sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan pencapaiannya sepanjang berkecimpung dalam industri muzik tanah air.

AIM 25 yang dikendalikan Awal Ashaari dan Scha Alyahya turut mencipta sejarah apabila buat pertama kali dianjurkan di Sarawak bersempena sambutan Jubli Perak anugerah berprestij berkenaan.

Acara yang disiarkan secara langsung menerusi TVS itu turut dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah. – MYBERITA

Wartawan MYBERITA
Wartawan MYBERITAhttps://portalmyberita.com/
Wartawan MYBERITA membawakan laporan berita semasa, nasional dan perkembangan terkini dari seluruh Malaysia dengan penyampaian yang pantas, tepat dan mudah difahami.
RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Ahad, 27 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|