SETIU – Perjalanan seorang murid Tahun Dua ke sekolah bersama neneknya bertukar tragedi apabila kanak-kanak berusia lapan tahun itu maut selepas motosikal dinaiki mereka terbabit kemalangan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 29, pagi tadi.
Mangsa, Putri Jannatul Arisha Abdullah dari Kampung Langkap, Permaisuri, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dalam kemalangan di Kilometer 50, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu kira-kira jam 6.40 pagi.
Nenek mangsa yang menunggang motosikal berkenaan pula mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dikejarkan ke Hospital Setiu untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Zahril Asri Mohd Zain berkata, ketika kejadian, wanita berkenaan sedang dalam perjalanan menghantar cucunya ke sekolah.
Menurutnya, motosikal itu keluar dari simpang Langkap menuju ke jalan utama sebelum membelok ke kanan untuk memasuki simpang sekolah.
“Pada masa sama Proton Waja dari arah Kuala Terengganu tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian sisi kanan motosikal, menyebabkan penunggang dan pembonceng terjatuh.
“Penunggang motosikal parah pada kepala dan dibawa ke Hospital Setiu untuk rawatan, manakala pembonceng meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Mayat Putri Jannatul Arisha kemudian dibawa untuk tindakan lanjut.
Polis menjalankan siasatan berhubung kemalangan itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MYBERITA
