KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) memberi isyarat jelas mengenai hala tuju politiknya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) apabila mengesahkan kerjasama dengan Kerajaan Perpaduan hanya akan bertahan sehingga Parlimen ke-15 dibubarkan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, gabungan itu akan terus menghormati komitmennya dalam kerajaan sehingga tamat penggal, namun kerjasama berkenaan tidak akan diteruskan secara automatik selepas pembubaran Parlimen.
“Di saat Parlimen dibubarkan, kita tidak lagi bersama dengan mereka (Kerajaan Perpaduan),” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Ke-18 Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Ahmad Zahid berkata, keputusan BN menyertai Kerajaan Perpaduan dibuat selepas PRU15 dalam suasana politik yang kompleks ketika itu.
Menurutnya, komitmen yang diberikan BN adalah untuk terus berada dalam kerajaan sehingga berakhirnya penggal Parlimen semasa.
“BN buat keputusan bersama kerajaan selepas PRU15, komitmen kita tetap berada di dalam kerajaan sehingga tamat penggal.
“Ketika Parlimen dibubarkan, kita tidak lagi bersama dengan mereka. Ini janji kita,” katanya.
Dalam masa sama, Ahmad Zahid menegaskan penyertaan BN dalam Kerajaan Perpaduan tidak bermaksud gabungan itu mengorbankan identiti atau pendirian politiknya sendiri.
Pendirian itu konsisten dengan kenyataan beliau pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 sebelum ini bahawa UMNO akan terus bersama Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal, meskipun terdapat perbezaan pandangan antara parti-parti yang membentuk kerajaan.
Terdahulu, Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia, Datuk Seri R S Thanenthiran dalam ucapannya mencadangkan supaya BN meninggalkan Kerajaan MADANI lebih awal.
Beliau mendakwa pemimpin UMNO dan BN sering berdepan tekanan, sedangkan pihak lain dalam kerajaan tidak menerima layanan sama apabila berdepan isu tertentu.
“Saya bagi pihak Parti Makkal Sakti Malaysia mencadangkan supaya keluarlah dari Kerajaan MADANI,” katanya.
Bagaimanapun, pendirian Ahmad Zahid menunjukkan BN tidak bercadang meninggalkan kerajaan sebelum tamat penggal, sebaliknya menetapkan pembubaran Parlimen sebagai titik berakhirnya komitmen politik semasa.
Pada 12 September lalu, Ahmad Zahid turut menegaskan UMNO akan kekal bersama Kerajaan Perpaduan hingga akhir penggal dan perbezaan pendapat dalam kerajaan gabungan perlu ditangani secara profesional. – MYBERITA
