Ahad | 27/09/2026 | 4:36:53 pm
HomeDunia61 juta tan runtuhan 'menelan' Gaza, 10,000 mayat masih tertimbus

61 juta tan runtuhan ‘menelan’ Gaza, 10,000 mayat masih tertimbus

GAZA – Di sebalik timbunan konkrit dan bangunan musnah yang memenuhi Gaza, ribuan mangsa dipercayai masih belum ditemukan, menjadikan usaha membersihkan wilayah itu bukan sekadar operasi pemulihan tetapi turut melibatkan pencarian dan pengurusan jasad manusia.

Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) menganggarkan antara 8,000 hingga 10,000 mayat masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan di seluruh Gaza.

Pada masa sama, jumlah keseluruhan runtuhan akibat konflik di wilayah itu dianggarkan mencecah 61 juta tan, iaitu kira-kira 20 kali ganda jumlah runtuhan yang terhasil daripada semua peperangan di seluruh dunia sepanjang 18 tahun lalu, menurut Wakil Khas UNDP di Palestin, Jaco Cilliers.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan operasi untuk membersihkan sebahagian besar runtuhan itu boleh mengambil masa sekurang-kurangnya tujuh hingga 10 tahun dengan kos mencecah berbilion dolar, sekali gus menjadikannya antara operasi pembersihan sisa peperangan terbesar dalam sejarah moden.

Setakat ini, kira-kira 580 kilometer jalan sudah dibersihkan bagi membolehkan trak bantuan, pasukan kemanusiaan dan penduduk bergerak, namun kemajuan keseluruhan masih kecil berbanding skala kemusnahan.

Selepas lebih dua tahun operasi, kira-kira 907,000 tan runtuhan berjaya dialihkan, manakala lebih 300,000 tan lagi dikitar semula dan digunakan kembali. Jumlah itu bagaimanapun hanya mewakili sekitar 1.5 peratus daripada keseluruhan runtuhan di Gaza.

Seorang jurutera PBB, Ahmed Alyan yang terlibat dalam operasi membersihkan Beirut Street di Gaza City menggambarkan skala tugas itu seperti cuba mengosongkan lautan menggunakan sudu.

Pasukan pembersihan bukan sahaja berdepan timbunan konkrit dalam jumlah luar biasa, malah terpaksa bekerja dalam keadaan berbahaya kerana terdapat bahan letupan yang belum meletup, asbestos serta struktur bangunan yang tidak stabil.

UNDP kini bekerjasama dengan beberapa organisasi termasuk Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) untuk mengenal pasti lokasi yang dipercayai mempunyai jasad manusia sebelum kawasan terbabit diberikan keutamaan dalam operasi pemindahan runtuhan.

Proses forensik turut dilakukan bagi mengenal pasti jasad yang ditemukan supaya ia dapat dikendalikan dengan sewajarnya, selain memastikan hak pengebumian mengikut agama dihormati dan keluarga menerima dokumentasi diperlukan.

Dalam pada itu, jurutera Program Makanan Sedunia (WFP), Nehal Abu Hassan berkata timbunan runtuhan tidak boleh dianggap sekadar sisa bangunan kerana ia turut menyimpan kehidupan, kenangan dan kemungkinan jasad anggota keluarga penduduk Gaza.

Situasi menjadi lebih rumit apabila peralatan berat dan alat ganti yang diperlukan untuk operasi pembersihan sukar diperoleh. Menurut laporan itu, pihak berkuasa Israel mengehadkan kemasukan sebahagian peralatan atas alasan ia berpotensi mempunyai kegunaan dwi (dual-use) yang boleh memberi manfaat kepada Hamas.

UNDP kini mengendalikan lima tapak penghancuran runtuhan di Gaza dengan konkrit daripada bangunan musnah diproses dan digunakan semula, antaranya bagi membaiki jalan, menampal lubang serta meninggikan tapak khemah dan tempat perlindungan daripada air hujan serta kumbahan.

Lebih 2.1 juta penduduk yang kehilangan tempat tinggal dilaporkan masih hidup di dalam khemah dan penempatan sementara, menyebabkan runtuhan bangunan menjadi sebahagian daripada persekitaran kehidupan harian mereka. – The Guardian

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Ahad, 27 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|