Selasa | 29/09/2026 | 11:41:29 pm
HomeJenayahWarden bekas tentera diperluas ke semua MRSM mulai 2027

Warden bekas tentera diperluas ke semua MRSM mulai 2027

PETALING JAYA – Kes buli yang dilaporkan hampir sifar sepanjang penempatan warden daripada kalangan bekas tentera mendorong Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperluas pendekatan itu ke semua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mulai 1 Januari 2027.

Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keberkesanan pendekatan berkenaan berdasarkan kajian rintis yang dijalankan di MRSM Besut dan MRSM Balik Pulau, terutama dalam aspek disiplin serta keselamatan pelajar.

Katanya, kajian diketuai Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman dari Institut Pengajian Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM) itu mendapati kehadiran warden bekas tentera secara konsisten membantu mengurangkan ruang berlakunya buli dan vandalisme.

“Antara dapatan utama kajian ialah warden bekas tentera berkesan mengawal disiplin dan keselamatan fizikal asrama selain mendapat penerimaan positif daripada pelajar, ibu bapa serta pentadbir.

“Kehadiran warden secara kerap dan sistematik juga meminimumkan ruang berlakunya buli dan vandalisme,” katanya.

Menurut Asyraf Wajdi, pelajar turut menunjukkan perubahan positif dari segi pematuhan jadual, kekemasan diri dan asrama serta nilai hormat dan adab sepanjang tempoh pelaksanaan projek rintis.

Malah, katanya, kehadiran warden terbabit turut memberi rasa lebih selamat kepada pelajar selain membantu memperkukuh aspek kerohanian menerusi penglibatan dalam aktiviti keagamaan.

“Warden juga mampu memperkukuh dimensi kerohanian pelajar menerusi penglibatan langsung dalam aktiviti keagamaan.

“Pada masa sama, langkah ini dapat mengurangkan beban guru supaya mereka boleh memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kecemerlangan akademik dan bimbingan sahsiah pelajar,” katanya.

Beliau berkata, dapatan kajian turut menunjukkan penurunan ketara dalam isu disiplin pelajar, manakala kes buli sepanjang tempoh keberadaan warden terbabit dilaporkan hampir sifar.

Susulan perkembangan itu, 10 MRSM telah mengambil warden sepenuh masa daripada kalangan bekas tentera sejak Julai lalu sebagai sebahagian daripada pelaksanaan awal sebelum diperluas ke seluruh negara.

“Alhamdulillah, hasilnya setakat ini amat positif dengan penurunan kes-kes disiplin secara drastik di semua MRSM yang terlibat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Asyraf Wajdi meminta UPM bekerjasama dengan Mara bagi membangunkan modul latihan khusus untuk warden baharu, selain meneruskan kajian berkaitan isu buli mental dalam kalangan pelajar.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan penyelidik IPSAS UPM atas kajian yang disifatkannya menyeluruh dan memberi manfaat kepada Mara serta MRSM. – KOSMO!

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Selasa, 29 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|