KUALA LUMPUR – Gelagat seorang kanak-kanak lelaki memohon maaf sempena Hari Raya Aidilfitri dengan gaya seperti askar mencuri perhatian warga maya di media sosial.
Menerusi satu perkongsian video tular, kanak-kanak berkenaan dilihat memberi tabik hormat dan memohon maaf kepada ibu bapa mereka seperti latihan askar.
“Minta maaf tuan kerana saya banyak minta benda sampai buat tuan naik angin.
Selamat Hari Raya, tuan,” katanya.
Lebih mencuit hati, aksi sama turut dilakukan apabila dia memohon maaf kepada ibunya.
Meninjau ke ruangan komen, ramai netizen menyatakan gelagat kanak-kanak itu seperti askar sebenar dan mencuit hati penonton.
Malah, ada yang mendoakan agar dia membesar menjadi anggota tentera kerana sudah menunjukkan aura disiplin sejak kecil.
View on Threads
“Pak cik doakan adik jadi perwira Angkatan Tentera Malaysia setelah dewasa nanti” kata seorang pengguna.
Gelagat spontan itu bukan sahaja menghiburkan, malah mencerminkan nilai disiplin dan adab yang baik dalam kalangan kanak-kanak sejak kecil. -MYBERITA

