Sabtu • 24 Mei 2025
UTAMASEMASA25 anggota tentera cemas, trak TLDM terlibat kemalangan menuju LIMA’25

25 anggota tentera cemas, trak TLDM terlibat kemalangan menuju LIMA’25

- Advertisement -

LANGKAWI – Seramai 25 anggota tentera yang dalam perjalanan ke Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA’25) berdepan detik cemas apabila trak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan membabitkan lima buah kenderaan berhampiran simpang tiga Jalan Teluk Baru dan Pantai Cenang, pada Jumaat.

Kemalangan yang berlaku kira-kira jam 3 petang itu turut membabitkan empat buah kenderaan lain termasuk Toyota Avanza, dua Perodua Axia dan sebuah Perodua Viva.

Menurut Penguasa Kanan Bomba I, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kedah, Ahmad Aminuddin Abd Rahim, seramai 30 mangsa terlibat dalam insiden berkenaan dengan enam mengalami kecederaan, termasuk seorang dalam kategori serius (zon merah) akibat kecederaan pada bahagian tengkuk.

“Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dari Resort World menerima panggilan kecemasan pada jam 3 petang dan tiba lima minit kemudian untuk memberi bantuan awal sebelum menyerahkan mangsa kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi rawatan lanjut,” katanya.

Operasi menyelamat ditamatkan sekitar jam 3.41 petang selepas keadaan terkawal.

TLDM dalam kenyataan rasmi memaklumkan trak tiga tan terbabit membawa petugas Demonstrasi Segmen Maritim LIMA’25 dan hilang kawalan sebelum terbabas ketika dalam perjalanan pulang dari Masjid Al Ehsan Temonyong ke Resorts World Langkawi.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun dua anggota cedera di bahagian kaki telah dihantar ke Hospital Sultanah Maliha untuk rawatan lanjut. Anggota lain menerima rawatan awal di bilik perubatan Segmen Maritim,” menurut kenyataan tersebut.

TLDM akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan menasihatkan orang awam agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.

Iklan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

ARTIKEL BERKAITAN