KUALA LUMPUR – Sebuah panel dinding di Stesen LRT Masjid Jamek runtuh petang tadi akibat hujan lebat dan ribut yang melanda sekitar jam 4.04 petang.
Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail), dalam kenyataan rasminya, memaklumkan bahawa insiden itu tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan besar pada struktur binaan stesen.
“Perkhidmatan tren dan operasi stesen berjalan seperti biasa, dan semua penumpang boleh meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing,” menurut kenyataan tersebut.
Kerja-kerja pembersihan dan baik pulih kini sedang giat dijalankan oleh pasukan fasiliti Rapid Rail. Selain itu, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi menyiasat punca kejadian secara terperinci bagi memastikan keselamatan struktur stesen.
Sebagai langkah tambahan, anggota Polis Bantuan telah ditempatkan di stesen bagi melancarkan pergerakan penumpang.
Rapid Rail memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi penumpang dan memberi jaminan bahawa sebarang perkembangan terkini akan dikemas kini menerusi laman media sosial rasmi Rapid KL.

