KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dikenakan denda sebanyak RM10,000 selepas didapati bersalah memuat naik kandungan yang mengandungi sentimen kaum dan agama yang jelik melampau di aplikasi TikTok.
Insiden tersebut berlaku pada 31 Mac lalu, dan tindakan penguatkuasaan dikenakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berdasarkan siasatan yang dijalankan.
MCMC dalam kenyataannya hari ini memaklumkan bahawa Mohamad Shafiq Abdul Halim dikenakan denda selepas mendapatkan izin pengkompaunan daripada Jabatan Peguam Negara.
Tindakan ini diambil mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang melarang penggunaan kemudahan rangkaian dan perkhidmatan aplikasi untuk menyebarkan kandungan yang lucah, sumbang, palsu, mengancam, atau jelik melampau.
MCMC menegaskan bahawa pihaknya akan terus memastikan ruang siber negara kekal selamat dan harmoni, serta menyeru semua pengguna media sosial untuk lebih bertanggungjawab dalam berkongsi kandungan. Sebarang penyebaran kandungan yang berunsur jelik, terutamanya yang boleh merosakkan sensitiviti agama, kaum, atau institusi diraja, akan dikenakan tindakan tegas.
Agensi itu turut menegaskan komitmennya untuk memperkukuhkan perpaduan nasional dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia, dengan memastikan penggunaan media sosial adalah selaras dengan etika yang betul.

