KUALA LUMPUR – Kemelut pentadbiran Negeri Sembilan memasuki fasa baharu apabila Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijadual menghimpunkan 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) malam ini bagi membincangkan jalan keluar terhadap situasi yang sedang berlaku di negeri itu.
Pertemuan berkenaan akan melibatkan semua ADUN BN bersama wakil rakyat PAS dan Wawasan, dengan beberapa pilihan dijangka dibincangkan sebelum langkah seterusnya ditentukan berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Ahmad Zahid berkata, peranannya adalah untuk menyelaras usaha mencari penyelesaian dan bukan mencampuri urusan pentadbiran negeri.
“Malam ini saya akan mengadakan mesyuarat bersama seluruh 25 ADUN BN, Pas dan Wawasan di bangunan ini.
“Saya mahu mengkoordinasi dan tidak berhajat untuk campur tangan, tetapi mahu mencari jalan terbaik…,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan ke-18 Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim turut diberikan mandat untuk mencari penyelesaian terbaik termasuk menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin serta pihak berkaitan dalam hierarki adat negeri.
“Saya memberikan mandat kepada Menteri Besar Negeri Sembilan untuk mencari penyelesaian terbaik… yang penting, rakyat mesti diberikan keutamaan. Masalah mereka mesti ditangani dan disantuni.
“Apa yang sedang dan telah berlaku, kita cari jalan yang baik di peringkat negeri. Kita tidak mahu keadaan semakin keruh,” katanya.
Pertemuan malam ini berlangsung ketika pentadbiran Negeri Sembilan berdepan situasi luar biasa selepas pembatalan pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) berkuat kuasa 20 September lalu diwartakan pada 24 September.
Menurut kenyataan Istana Negeri Sembilan sebelum ini, Tuanku Muhriz menarik balik perkenan dan membatalkan pelantikan kesemua Exco berkenaan selepas mereka didapati memungkiri sumpah jawatan melalui tindakan dan kenyataan pada 15 September.
Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 memperuntukkan seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri selain Menteri Besar memegang jawatan selama diperkenankan Yang di-Pertuan Besar.
Susulan pembatalan itu, pihak Istana sebelum ini menyatakan Menteri Besar perlu mempersembahkan senarai calon Exco baharu untuk pertimbangan dan perkenan Tuanku Muhriz mengikut Perkara XXXVIII(2), dengan pentadbiran negeri dijangka diteruskan tanpa gangguan serta kepentingan rakyat terus dipelihara.
Ahmad Zahid berkata beberapa langkah kini sedang diusahakan bagi memastikan urusan pentadbiran Negeri Sembilan terus berjalan, sambil menegaskan penyelesaian yang dicari perlu mengutamakan kepentingan rakyat. – MYBERITA
