Ahad | 27/09/2026 | 4:17:01 pm
HomeNasionalPolis panggil bekas Exco Negeri Sembilan esok, Akta Hasutan antara peruntukan diteliti

Polis panggil bekas Exco Negeri Sembilan esok, Akta Hasutan antara peruntukan diteliti

BUTTERWORTH – Siasatan polis berhubung isu pentadbiran dan institusi diraja Negeri Sembilan memasuki fasa seterusnya apabila bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dijadual dipanggil untuk dirakam keterangan mulai esok dan lusa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, tindakan itu dibuat susulan beberapa laporan polis yang diterima berkaitan perkembangan di negeri berkenaan.

Selain bekas Exco, beberapa saksi dan individu lain yang mempunyai kaitan dengan kes turut akan dipanggil bagi membantu melengkapkan siasatan.

“Memang banyak laporan polis telah dibuat oleh pihak-pihak tertentu berhubung perkara itu. Kita akan menjalankan siasatan dan mengambil keterangan daripada mereka yang berkaitan, termasuk bekas Exco dan mereka yang terlibat.

“Setakat ini polis telah memanggil beberapa individu untuk dirakam percakapan, termasuk seorang atau dua individu yang berkemungkinan menjadi saksi dalam kes berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Projek Whitening the BlackspotKontinjen Polis Pulau Pinang di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth, hari ini.

Mohd Khalid berkata, polis kini dalam proses melengkapkan kertas siasatan sebelum ia dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan selanjutnya.

Dalam perkembangan sama, beliau tidak menolak kemungkinan Akta Hasutan antara peruntukan undang-undang yang mungkin berkaitan dengan sebahagian kes yang sedang diteliti.

Bagaimanapun, katanya, polis masih meneliti secara menyeluruh semua laporan yang diterima bagi menentukan peruntukan undang-undang berkaitan.

“Polis menyiasat, tetapi yang membuat keputusan sama ada hendak mendakwa dan sebagainya ialah Peguam Negara.

“Mungkin dalam beberapa kes ada berkaitan dengan Akta Hasutan, mungkin ada pelanggaran lain dan memerlukan penelitian daripada semua pihak, terutama sekali pihak Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Khalid memberi jaminan keadaan keselamatan dan ketenteraman awam di Negeri Sembilan kekal baik serta terkawal ketika siasatan berhubung isu berkenaan diteruskan.

Menurutnya, masyarakat di negeri itu dilihat memahami perkembangan semasa dan memberikan kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa.

“Kita cuba mengekalkan suasana itu dengan sempurna demi keselamatan masyarakat dan juga rakyat di Negeri Sembilan,” katanya.

Polis sebelum ini menerima beberapa laporan berkaitan isu pentadbiran serta institusi diraja Negeri Sembilan, sekali gus membawa kepada siasatan dari beberapa sudut. – MYBERITA

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Ahad, 27 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|