KUCHING — Status sebagai Biduanita Negara dan berada di kemuncak kerjaya tidak membuatkan Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin mahu ‘bersara’ daripada persaingan Anugerah Industri Muzik (AIM).
Sebaliknya, penyanyi tersohor itu menegaskan beliau akan terus menyertai AIM kerana pentas berkenaan bukan sekadar mengiktiraf penyanyi, malah menjadi medan menghargai barisan tenaga kreatif yang bekerja di belakang tabir.
Menurut Siti, beliau pernah bersedia menarik diri daripada beberapa anugerah lain, namun pendekatan sama tidak boleh digunakan untuk AIM kerana setiap karya melibatkan sumbangan ramai pihak.
“Anugerah lain saya bersedia untuk tarik diri seperti yang pernah saya buat untuk Anugerah Juara Lagu (AJL) atau Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH). Tetapi untuk AIM, saya tidak boleh pentingkan diri sendiri kerana ada orang lain yang perlu saya hargai.
“Pentas AIM ialah platform terbaik untuk kita calonkan dan hargai usaha mereka di belakang tabir, daripada pencipta lagu, penulis lirik, penyusun muzik hinggalah penerbit. Memang tiada alasan untuk saya tarik diri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meraih trofi Lagu Terbaik pada AIM ke-25 menerusi karya Pesanan Buat Diri, malam tadi.
Mengulas kemenangan berkenaan, Siti berkata kekuatan Pesanan Buat Diri terletak pada gabungan elemen irama asli dengan susunan muzik moden, selain lirik yang membawa mesej kuat dan dekat dengan kehidupan.
Penulis liriknya, Datuk Habsah Hassan berkata bait-bait puitis lagu ciptaan Aubrey Suwito itu tercetus selepas beliau mendengar melodinya berulang kali sebelum menterjemahkan emosi tersebut dalam bentuk lirik.
“Kehidupan ini tiada yang kekal, ada masa bahagia, ada masa gembira, dan apabila tiba masa berduka, pasti ada yang akan mendahului atau ditinggalkan.
“Namun realitinya, kita tidak boleh terlalu bersedih dan perlu sentiasa bersedia menghadapinya,” katanya.
Menurut Habsah, mesej berkenaan membawa gambaran realiti kehidupan bahawa setiap individu perlu bersedia berdepan kehilangan dan pelbagai ujian.
Dalam perkembangan sama, Aisha Retno mencipta kejutan apabila albumnya, Rehab, dinobatkan sebagai Album Terbaik selepas bersaing dengan nama besar industri termasuk Siti Nurhaliza, Faizal Tahir dan Shila Amzah.
Aisha menyifatkan kemenangan itu sebagai simbol kebangkitan semula selepas lapan tahun membina perjalanan dalam industri muzik tanah air.
“Jujurnya ini sangat di luar jangkaan. Album ini adalah proses ‘rehab’ bagi perjalanan dan tragedi yang pernah berlaku dalam hidup saya sebelum ini, sekali gus menjadi simbol kebangkitan semula untuk saya terus berkarya,” katanya.
Menurut Aisha, Rehab turut mengetengahkan kepelbagaian genre hasil eksperimen muziknya dalam usaha menawarkan sesuatu yang berbeza kepada pendengar.
Beliau berharap pengiktirafan berkenaan dapat menjadi dorongan kepada pembikin muzik muda untuk terus menghasilkan karya, selain menjadi penghargaan kepada seluruh pasukan produksi yang bekerja di belakang tabir. – MYBERITA
