Isnin | 28/09/2026 | 10:53:22 pm
HomeTerkini“Terima kasih atas segala-galanya untuk badminton Malaysia”,Lee Chong Wei sebak kenang pemergian...

“Terima kasih atas segala-galanya untuk badminton Malaysia”,Lee Chong Wei sebak kenang pemergian Tun Siti Hasmah

KUALA LUMPUR – Legenda badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei mengakui terduduk kaku sebaik menerima berita pemergian Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali yang disifatkannya sebagai ‘peminat No.1’ badminton Malaysia.

Tun Dr. Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada usia 100 tahun pagi tadi. Pemergiannya disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.

Chong Wei berkata, berita pemergian tokoh yang amat dekat dengan skuad badminton negara itu benar-benar membuatkan hatinya sedih dan sebak.

Menurutnya, dia masih mengingati perbualan terakhir bersama Tun Dr. Siti Hasmah ketika Malaysia Open pada awal tahun ini.

“Bila berhubung dengan Tun, Tun semangat sangat kata nak datang stadium bagi sokongan pada pemain-pemain kita. Semangat dan cinta Tun pada badminton langsung tak pernah pudar. Tak sangka betul, itu rupanya kali terakhir kita berbual,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, bagi orang luar, Tun Dr. Siti Hasmah mungkin dikenali sebagai isteri bekas Perdana Menteri, namun bagi dirinya dan seluruh skuad badminton negara, Allahyarhamah merupakan insan yang amat dihormati serta tempat mereka menumpang kasih.

“Pemain-pemain senior selalu cerita kisah kenangan manis kita juara Piala Thomas 1992. Tun setia di sisi pasukan sebagai penaung dan setiap kali cerita pasal kejayaan itu, mesti bertakung air mata Tun.

“Dalam tempoh hampir 20 tahun karier badminton saya, daripada budak hingusan yang baru masuk skuad kebangsaan hinggalah bertanding di pentas dunia, Tun sentiasa ada. Kalah atau menang, sokongan dan kasih sayang Tun tidak pernah putus,” katanya.

Tun Dr. Siti Hasmah pernah berkhidmat sebagai Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selama lebih dua dekad sehingga 2007 dan menjadi sebahagian daripada perjalanan penting badminton negara, termasuk kejayaan Malaysia menjulang Piala Thomas pada 1992 selepas penantian 25 tahun.

Chong Wei turut mengenang sifat penyayang Allahyarhamah yang melayan anggota skuad badminton negara seperti anak sendiri.

“Bila ada perselisihan faham dalam pasukan, Tun jugalah yang mendamaikan dengan kelembutan dan kebijaksanaan. Kasih sayang Tun yang menyatukan kami, jadi benteng paling teguh untuk badminton Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, minat Allahyarhamah terhadap badminton turut menjadi sumber inspirasi kepada dirinya dan seluruh pemain negara.

“Tun sendiri main badminton sampai umur 75 tahun. Minat dan kesetiaan Tun pada sukan ini betul-betul memberi inspirasi pada saya dan kami semua.

“Tun Dr. Siti Hasmah, terima kasih atas segala-galanya untuk badminton Malaysia. Terima kasih atas kasih sayang dan kekuatan yang Tun curahkan pada saya selama ini.

“Senyuman dan kehangatan kasih Tun akan sentiasa hidup di dalam gelanggang dan di hati seluruh rakyat Malaysia. Berehatlah dengan tenang, Tun. Kami akan sentiasa merindui Tun,” katanya.

– Kosmo

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Isnin, 28 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|