KUALA LUMPUR – Tiada siapa menyangka pertemuan Datuk Seri Mukhriz Mahathir bersama ibunya, Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, malam tadi menjadi detik terakhir mereka bersama.
Malah, menurut Mukhriz, Siti Hasmah masih ceria ketika mereka meluangkan masa bersama di Institut Jantung Negara (IJN), sebelum Allahyarhamah meluahkan bahawa dirinya sudah bersedia untuk meninggalkan keluarga.
“Saya sebenarnya bersama dengan beliau malam semalam. Waktu itu dia sudah pun berada di IJN atas penyakit yang lain sebenarnya, tetapi ‘mood-nya’ sangat ceria.
“Walaupun begitu, dia ada beritahu saya yang dia sudah bersedia untuk meninggalkan kita semua. Jadi nampaknya dia dah bertawakal,” katanya.
Mukhriz berkata demikian ketika ditemui media selepas selesai urusan pengebumian Allahyarhamah, malam ini.
Menurutnya, keadaan berubah secara tidak dijangka pagi tadi apabila beliau menerima makluman daripada pihak hospital kira-kira jam 8 pagi bahawa ibunya mengalami sakit jantung.
“Saya terus bergegas ke IJN,” katanya.
Setibanya di IJN, Mukhriz berkata pasukan pakar sedang melakukan CPR sebelum Siti Hasmah dipindahkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU).
Keluarga kemudian dimaklumkan kira-kira jam 9 pagi bahawa usaha berkenaan hanya akan diteruskan untuk tempoh 15 minit lagi sekiranya jantung Allahyarhamah masih tidak kembali berfungsi.
“Dan kita waktu itu dah faham maksud doktor.Tepat pada 9.30 pagi, beliau telah meninggalkan kita semua,” katanya dalam nada beremosi.
Dalam pada itu, Mukhriz berkata keluarga masih menunggu penjelasan rasmi daripada IJN berhubung penyakit dan komplikasi yang dialami Siti Hasmah sebelum serangan jantung berlaku pagi tadi.
Siti Hasmah, 100, menghembuskan nafas terakhir di IJN pagi tadi sebelum jenazahnya disemadikan di Pusara Negara, Putrajaya. – Malaysia Gazette
