SEREMBAN – Selepas tidak lagi dapat menggunakan pejabat EXCO di Wisma Negeri, 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan kini diarahkan memulangkan kenderaan rasmi kerajaan negeri susulan pembatalan pelantikan mereka.
Bekas EXCO Perindustrian, Teknologi, Inovasi dan Digital negeri, Datuk Mohd Asna Amin mengesahkan menerima surat daripada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) berhubung arahan berkenaan, hari ini.
Menurut Mohd Asna, beliau tidak lagi menggunakan kenderaan rasmi berkenaan sejak pembatalan pelantikannya diwartakan dan akan mematuhi arahan yang diterima.
“Sejak perwartaan itu, saya tak guna kenderaan rasmi tapi hari ini memang ada terima surat daripada SUK berhubung arahan memulangkan semula kenderaan rasmi.
“Namun tidak sempat pun membaca surat itu tadi,” katanya selepas memberikan keterangan kepada polis Bukit Aman di bangunan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), di sini, hari ini.
Mohd Asna yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng berkata, semua barangan peribadi perlu dikeluarkan sebelum kenderaan berkenaan diserahkan semula.
“Jadi, kami perlu mengeluarkan semua barang kami. Tidak mengapa, apa jua arahannya,” katanya.
Beliau turut memaklumkan tidak dapat memasuki pejabat EXCO di Wisma Negeri seperti biasa dan kini menjalankan tugas sebagai wakil rakyat menerusi Pusat Khidmat DUN Lenggeng.
“Sebagai wakil rakyat, buat masa ini operasi kita di kawasan iaitu di pusat khidmat kawasan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Asna berkata pertemuan 25 ADUN Barisan Nasional (BN), PAS dan Wawasan bersama Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di ibu negara malam tadi memberi tumpuan kepada situasi politik serta usaha menyelesaikan kebuntuan pentadbiran negeri.
Katanya, penyelesaian perlu dicapai bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri dapat terus berfungsi, lebih-lebih lagi menjelang pembentangan Belanjawan Negeri 2027 yang dijadualkan pada Disember.
“Belanjawan negeri semakin hampir, tinggal kira-kira dua bulan lagi. Jadi, kerajaan perlu terus berfungsi.
“Perkara ini terletak kepada MB bagaimana untuk menangani dan menyelesaikannya seperti mana Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias maklumkan malam tadi.
“Apa jua yang berlaku, kami mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya.
Pembatalan pelantikan 10 EXCO Negeri Sembilan berkuat kuasa pada 20 September lalu sebelum diwartakan secara rasmi pada 24 September.
Menurut warta berkenaan, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menarik balik perkenan dan membatalkan pelantikan kesemua mereka selepas menyatakan berlaku pelanggaran terhadap ikrar taat setia yang telah dilafaz serta ditandatangani ketika mengangkat sumpah jawatan.
Warta itu turut merujuk Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 yang memperuntukkan bahawa seseorang EXCO selain Menteri Besar memegang jawatan selama diperkenan Yang di-Pertuan Besar. – MYBERITA
