Isnin | 28/09/2026 | 10:53:18 pm
HomeNasionalNegeriLebih 60 soalan dijawab, 10 bekas Exco Negeri Sembilan selesai beri keterangan

Lebih 60 soalan dijawab, 10 bekas Exco Negeri Sembilan selesai beri keterangan

SEREMBAN – Lebih 60 soalan berkaitan krisis pentadbiran Negeri Sembilan diajukan polis kepada sekurang-kurangnya seorang daripada 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang selesai memberi keterangan kepada Bukit Aman, hari ini.

Proses rakaman keterangan yang turut membabitkan beberapa individu lain berlangsung secara berasingan di Menara Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) di sini, dengan sesi berkenaan difahamkan bermula kira-kira jam 11 pagi.

Beberapa bekas Exco dilihat meninggalkan bangunan berkenaan sekitar jam 2 petang selepas hampir tiga jam berada di lokasi, manakala pasukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman beredar kira-kira 15 minit kemudian.

Bekas Exco Perindustrian, Teknologi, Inovasi dan Digital negeri, Datuk Mohd Asna Amin berkata, beliau sendiri memberi keterangan selama lebih setengah jam dan perlu menjawab lebih 60 soalan berkaitan krisis yang berlaku di negeri itu.

“Saya sendiri memberi keterangan lebih setengah jam dengan lebih 60 soalan perlu dijawab berkaitan krisis pentadbiran Negeri Sembilan.

“Buat masa ini, kami sekadar mengambil keterangan dan difahamkan ramai lagi akan dipanggil. Semua profesional dan kita juga menjawab soalan secara profesional serta baik,” katanya ketika ditemui di Menara MAINS, hari ini.

Mohd Asna yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng berkata, kesemua 10 bekas Exco bersama beberapa individu lain memberi keterangan secara berasingan kepada pegawai penyiasat.

Beliau turut memaklumkan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim tidak hadir untuk memberi keterangan kepada pasukan Bukit Aman dalam sesi hari ini.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Asna mengesahkan beliau dan bekas Exco lain turut menerima surat daripada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang mengarahkan pemulangan kenderaan rasmi kerajaan negeri.

Menurutnya, arahan itu akan dipatuhi dan kenderaan berkenaan akan dipulangkan hari ini.

“Saya pun tak baca surat itu tadi, tapi kita diminta pulangkan, jadi kita kena pulangkan semua barang-barang rasmi kerajaan, kita pulangkanlah kenderaan hari ini,” katanya.

Sementara itu, bekas Exco yang juga ADUN Serting, Mohd Fairuz Mohd Isa berkata, proses rakaman keterangannya mengambil masa kira-kira dua jam.

“Semua dijawab dengan baik,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata polis akan mengambil keterangan bekas Exco serta beberapa saksi dan individu berkaitan bagi membantu siasatan susulan beberapa laporan polis berhubung krisis pentadbiran dan institusi diraja Negeri Sembilan. – MYBERITA

Wartawan MYBERITA
Wartawan MYBERITAhttps://portalmyberita.com/
Wartawan MYBERITA membawakan laporan berita semasa, nasional dan perkembangan terkini dari seluruh Malaysia dengan penyampaian yang pantas, tepat dan mudah difahami.
RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Isnin, 28 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|