BANGI – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tampil memperincikan skop tugas Shahrol Shiro susulan pelantikannya sebagai tenaga pengajar yang mencetuskan persoalan mengenai kelayakan pelawak itu dalam kalangan pengguna media sosial.
Menurut kenyataan Pusat Komunikasi Korporat UKM, Shahrol atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi dilantik sebagai pengajar sambilan Kursus Citra Universiti bagi Kelas Seni Lakon di Fakulti Pengajian Sains Citra (FPSC), dengan pengkhususan dalam stand-up comedy.
Universiti itu turut menegaskan peranan Shahrol tertumpu kepada aspek latihan praktikal dan bukannya pengajaran akademik di dalam kuliah.
“Melalui lantikan ini, beliau hanya memberi latihan amali dan praktikal sahaja tanpa melibatkan pengajaran di dalam kuliah,” menurut kenyataan UKM. Siakap Keli
UKM menjelaskan pemilihan Shahrol dibuat berdasarkan pengalamannya sebagai pengamal industri seni yang terbabit dalam pelbagai cabang termasuk lakonan, persembahan, komedi, pengacaraan dan produksi.
Kursus Citra UKM (Seni Lakon) pula merupakan kursus di bawah Citra Kebudayaan yang ditawarkan kepada mahasiswa bagi memberikan pendedahan serta pengalaman dalam seni persembahan, khususnya aspek asas lakonan dan persembahan.
FPSC merupakan fakulti yang memberi tumpuan kepada pengajian transdisiplin merangkumi pengajian umum termasuk kursus berkaitan kebudayaan, sukan dan badan beruniform.
Penjelasan itu dibuat selepas pelantikan Shahrol menjadi perbualan di media sosial dengan sebahagian pengguna mempersoalkan kelayakan serta rasional pemilihannya sebagai tenaga pengajar. Terdapat juga pengguna yang mempertikaikan pelantikan berkenaan dengan mengaitkan latar belakang penglibatannya dalam politik.
MYBERITA sebelum ini melaporkan, Shahrol menjelaskan beliau menerima tawaran UKM untuk berkongsi pengalaman dalam bidang komedi, selain menepis tanggapan bahawa pelantikannya dibuat atas faktor politik.
Beliau berkata penglibatannya bermula selepas pertemuan dengan pihak universiti pada tahun lalu berhubung Kursus Citra yang ditawarkan kepada mahasiswa.
Shahrol sebelum ini turut menjelaskan bahawa komedi bukan sekadar hiburan, sebaliknya memerlukan keberanian, keyakinan ketika berada di atas pentas serta kemahiran komunikasi yang baik. – Facebook UKM
