SEBERANG PERAI – Penunggang motosikal yang menjadi perhatian selepas rakaman kemalangan membabitkan dua beradik di hadapan sebuah sekolah di Permatang Pauh tular baru-baru ini, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Mohamad Amin Abdul Hamid, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Sharifah Razali.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai pembantu khidmat am didakwa menunggang motosikal Honda RS-X secara tidak cermat dan tidak bertimbang rasa terhadap pengguna jalan raya lain sehingga menyebabkan kemalangan melibatkan dua pejalan kaki.
Kesalahan itu didakwa berlaku di Jalan Permatang Pauh, Seberang Perai Tengah pada kira-kira pukul 7.20 pagi, 23 September lalu.
Kejadian berkenaan sebelum ini mendapat perhatian ramai selepas rakaman memaparkan kemalangan melibatkan dua beradik yang sedang melintas jalan di hadapan sebuah sekolah tersebar di media sosial.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda antara RM5,000 hingga RM10,000 dan boleh juga dipenjarakan sehingga 12 bulan jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K. Puvirajan memohon jumlah itu dikurangkan dengan mengambil kira keadaan kewangan anak guamnya.
“Tertuduh baru bekerja selama empat bulan selain menyara ibu bapanya,” katanya ketika memohon jaminan minimum.
Mahkamah kemudian menetapkan 18 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – MYBERITA
