KUALA LUMPUR – Pelakon Amar Baharin terpaksa menukar laluan asal misi berbasikal Kembara ke Mekah yang bakal bermula pada 27 April ini, susulan situasi tegang di sempadan India dan Pakistan ketika ini.
Amar, 40, berkata perubahan laluan itu dibuat atas faktor keselamatan selepas dimaklumkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Delhi bahawa keadaan di kedua-dua negara tersebut tidak sesuai untuk dilalui bagi misi #JourneyToTanahHaram.
“Allah sebaik-baik perancang. Kami terpaksa ‘reroute’ misi ini demi keselamatan semua. Laluan terbaharu akan diumumkan kelak,” katanya menerusi satu hantaran ringkas di Instagram.
Pengumuman itu turut menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen yang mendoakan agar perjalanan Amar ke Tanah Suci dipermudahkan dan sentiasa dilindungi.
Sebelum ini, Amar memaklumkan bahawa beliau akan memulakan misi kayuhan sejauh 8,000 kilometer bersama sahabatnya, Datuk Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin, yang juga pendaki Malaysia pertama menawan Gunung Everest.
Kayuhan yang dijadualkan bermula dari Perlis itu akan merentasi beberapa negara seperti Thailand dan Iran, sebelum tiba di Arab Saudi menjelang Julai nanti.
Isterinya, pelakon Amyra Rosli, turut menyatakan bahawa pada awalnya beliau keberatan menerima keputusan suaminya menyertai misi tersebut, namun kini reda dan memberi sokongan penuh terhadap usaha murni Amar itu.


