KUALA LUMPUR – Sebuah rakaman video yang tular di media sosial memaparkan seorang wanita menjerit dan berulang kali meminta bantuan daripada orang ramai, mendakwa dirinya dikasari, di laluan ke Tasik Titiwangsa baru-baru ini.
Video berdurasi kurang satu minit itu menunjukkan wanita terbabit dalam keadaan panik sambil melambai-lambai dan menjerit meminta pertolongan.
“Tolong! Tolong! Dia nak bunuh aku!,” jerit wanita tersebut dengan penuh ketakutan.
Dalam rakaman itu, wanita tersebut dilihat cuba membuka pintu kereta, namun ditahan oleh seorang lelaki yang berada bersamanya. Lelaki itu kemudiannya mendakwa wanita terbabit berada dalam keadaan kurang waras, menyebabkan tindakannya menjerit seperti itu.
“Tak apa, dia tak sedar ini. Tolong tutupkan pintu bang,” katanya kepada orang ramai.
Kejadian itu menimbulkan pelbagai spekulasi di kalangan netizen, ramai yang bimbang bahawa insiden tersebut mungkin melibatkan kekerasan rumah tangga atau pertengkaran antara pasangan. Beberapa pengguna media sosial turut menegur sikap orang ramai yang dilihat hanya merakam dan memerhati tanpa mengambil tindakan.
“Kekerasan rumah tangga ka? Atau pergaduhan kekasih? Cara wanita tu menjerit nampak dia takut sangat. Kenapa yang di luar hanya perhati dan rakam?” soal seorang netizen, Ajuna.
“Walau gaduh suami isteri, kita ada hak campur tangan kalau dah terjerit-jerit minta tolong macam itu, tambah pula tempat awam,” tegur Zehan.
“Kalau nampak kes macam ini cepat-cepat bertindak. Dah di tempat awam kan, apa-apa bawa pergi balai,” tambah Nasuha Izzati.
Setakat ini, tiada laporan rasmi dari pihak polis mengenai kejadian tersebut, namun video itu telah mencetuskan perbincangan hangat mengenai keselamatan wanita dan tanggungjawab masyarakat dalam situasi kecemasan.

