Ahad | 27/09/2026 | 3:52:58 pm
HomeJenayahPusat hiburan 'sejenis' warga asing tawar persembahan tarian diserbu

Pusat hiburan ‘sejenis’ warga asing tawar persembahan tarian diserbu

KUALA LUMPUR – Sebuah pusat hiburan di Jalan Klang Lama yang dipercayai menawarkan persembahan tarian warga asing melibatkan golongan ‘sejenis’ diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi khas awal pagi semalam.

Serbuan kira-kira pukul 12.05 tengah malam itu menyaksikan empat lelaki warga asing berusia antara 21 hingga 31 tahun ditahan, terdiri daripada tiga warga China dan seorang warga Filipina.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi berkenaan dilaksanakan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya selepas pihaknya menjalankan risikan selama sebulan berdasarkan maklumat awam.

“Hasil operasi, seramai empat warga asing berjaya ditahan di pusat hiburan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zakaria, pemeriksaan awal mendapati kesemua lelaki terbabit tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas sah untuk berada di Malaysia.

Siasatan JIM turut mendapati premis berkenaan dipercayai sudah beroperasi sejak tahun lalu dengan menyasarkan pelanggan tempatan dan warga asing di sekitar Lembah Klang.

“Modus operandi pusat hiburan ini menawarkan hiburan dan persembahan tarian oleh warga asing melibatkan golongan ‘sejenis’,” katanya.

Pelanggan dipercayai dikenakan bayaran antara RM53 hingga RM700 bergantung kepada minuman serta tempahan meja.

Operasi berkenaan turut mendapat kerjasama pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dari ibu pejabat dan Kuala Lumpur.

Kesemua warga asing yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, tiga lelaki warga tempatan turut diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan. – MYBERITA

Wartawan MYBERITA
Wartawan MYBERITAhttps://portalmyberita.com/
Wartawan MYBERITA membawakan laporan berita semasa, nasional dan perkembangan terkini dari seluruh Malaysia dengan penyampaian yang pantas, tepat dan mudah difahami.
RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Ahad, 27 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|