KUALA LUMPUR – Detik cemas menyelubungi penumpang sebuah penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu apabila pesawat yang dinaiki mereka terpaksa berpatah balik ke ibu negara disebabkan keadaan cuaca buruk di kawasan Pantai Timur.
Seorang penumpang yang berkongsi pengalamannya melalui satu klip video tular di platform TikTok menceritakan suasana menakutkan yang berlaku ketika pesawat bergegar kuat di udara hingga menyebabkan semua penumpang panik dan ketakutan.
“Begitulah keadaannya, saya hampir hilang nyawa… saya tidak boleh bernafas, takut sangat. Tapi alhamdulillah semuanya selamat dan kami berpatah balik ke Kuala Lumpur,” jelas lelaki tersebut dalam video berkenaan.
Difahamkan, kejadian berlaku dalam penerbangan malam semalam dan keputusan untuk berpatah balik dibuat atas faktor keselamatan memandangkan cuaca yang tidak menentu di Kelantan ketika itu.
Menurut maklumat dari Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), keadaan cuaca di negeri berkenaan kini tidak menentu terutama pada waktu malam dengan hujan lebat berserta ribut petir dilaporkan di beberapa kawasan.
Tindakan pantas dan bijak Kapten pesawat yang mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pendaratan di Kota Bharu telah menerima pujian orang ramai yang memuji kecekapan serta keutamaan yang diberikan terhadap keselamatan penumpang.
Insiden tersebut turut menjadi peringatan kepada orang awam mengenai kepentingan mematuhi arahan keselamatan penerbangan serta cabaran yang dihadapi kru penerbangan ketika berdepan cuaca ekstrem.

