MOSCOW – Pelajar-pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian di Russia meluahkan rasa teruja dan bangga apabila berpeluang bertemu serta berinteraksi secara langsung dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara Russia, malam tadi.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, sesi dialog dan pertemuan mesra itu diadakan sebaik sahaja ketibaan Perdana Menteri di Moscow sempena lawatan rasmi beliau selama empat hari ke negara tersebut.
“Perdana Menteri mengadakan dialog dan sesi interaksi dengan pelajar-pelajar Malaysia yang hadir. Keseluruhannya, terdapat lebih 550 pelajar Malaysia sedang belajar di seluruh Russia dalam pelbagai bidang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Zambry, pertemuan itu turut menyentuh pelbagai isu semasa termasuk perkembangan geopolitik tanah air dan antarabangsa seperti isu tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat.
Hubungan diplomatik Malaysia-Russia, katanya, telah terjalin sejak April 1967 dan sepanjang tempoh itu, kedua-dua negara telah membina pelbagai bentuk kerjasama termasuk dalam sektor ekonomi, perdagangan serta pendidikan tinggi.
Dalam pertemuan tersebut, Zambry turut mengambil kesempatan bertanya khabar dan mendapatkan maklum balas secara langsung daripada para pelajar berkaitan kebajikan, pembelajaran dan perkara-perkara lain yang memerlukan perhatian Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“Insya-Allah, perkara yang dinyatakan akan kita bantu untuk dipermudahkan.
“Saya doakan anak-anak pelajar ini dapat menamatkan pengajian dengan jayanya dan kembali pulang ke tanah air untuk menyumbang tenaga serta kemahiran kepada negara,” ujarnya.
Lawatan rasmi Perdana Menteri ke Russia dijangka mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan negara tersebut terutama dalam bidang yang memberi manfaat kepada rakyat.