AMPANG JAYA – Tindakan dua remaja lelaki memeras ugut kenalan mereka menggunakan video intim akhirnya memakan diri apabila mereka diberkas polis di sebuah pusat beli-belah di Ampang, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, penahanan dilakukan selepas mangsa membuat laporan polis mendakwa diugut untuk membayar sejumlah wang bagi mengelakkan video bogel dirinya bersama teman wanita disebarkan di media sosial.
“Mangsa mendakwa menerima mesej ugutan melalui aplikasi WhatsApp daripada salah seorang suspek yang juga kenalannya pada 11 April lalu.
“Kerana takut video itu disebarkan, mangsa telah membuat bayaran secara ansuran berjumlah RM2,800 secara tunai, namun suspek tetap menuntut tambahan RM1,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tidak tahan terus diugut, mangsa akhirnya tampil membuat laporan polis. Bertindak atas maklumat tersebut, pihak polis menahan kedua-dua remaja lelaki berusia 18 tahun itu dan merampas tiga buah telefon pintar yang dipercayai digunakan dalam jenayah tersebut.
Hasil semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau, termasuk berkaitan dadah, manakala seorang lagi tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Ujian air kencing turut mendapati kedua-dua mereka positif dadah jenis Tetrahidrokannabinol (THC). Kedua-dua suspek kini direman selama empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah.
Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak menyimpan atau berkongsi kandungan berunsur lucah serta segera membuat laporan sekiranya menjadi mangsa pemerasan atau ugutan.